Selasa, 11 Februari 2020 | 7:35pm
MANGSA parah ditikam bekas suaminya dibawa menaiki ambulans untuk dibawa ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I), Kota Kinabalu. NSTP/Juwan Riduan
MANGSA parah ditikam bekas suaminya dibawa menaiki ambulans untuk dibawa ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I), Kota Kinabalu. NSTP/Juwan Riduan

Nelayan tikam bekas isteri hingga mati kerana enggan rujuk

KOTA KINABALU: Seorang lelaki menikam bekas isterinya hingga mati, hanya kerana mangsa menolak untuk rujuk kembali dalam kejadian di bilik sewa wanita itu di tingkat dua Segama di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, mangsa Rina Amat, 37, yang cedera parah akibat ditikam dengan pisau di bahagian dada dan pergelangan tangan, dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I).

Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia ketika dalam rawatan kecemasan pada jam 3.27 petang.

Difahamkan, mangsa bekerja menjual sayur di Pemasaran Perikanan Sabah (SAFMA), manakala bekas suaminya adalah seorang nelayan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji, berkata sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu dikejarkan ke lokasi kejadian pada jam 2.20 petang sejurus menerima aduan daripada orang awam.

“Pasukan polis berjaya menahan suspek berhampiran lokasi kejadian, manakala bekas isterinya yang cedera parah dikejarkan ke HQEI untuk rawatan sebelum disahkan meninggal dunia.

“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai datang menemui mangsa di bilik sewanya untuk mengajak wanita itu merujuk kembali hubungan mereka.

“Bagaimanapun, mangsa enggan dan berlaku pergaduhan di antara mereka sebelum suspek menikam bekas isterinya di bahagian dada dan pergelangan tangan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Habibi berkata, suspek berusia 37 tahun itu dibawa ke IPD Kota Kinabalu untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Berita Harian X