Isnin, 10 Februari 2020 | 6:29pm
Pengarah KPDNHEP Melaka, Norena Jaafar. - Foto Amir Mamat
Pengarah KPDNHEP Melaka, Norena Jaafar. - Foto Amir Mamat

Peniaga sesuka hati naikkan harga

MELAKA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri mengesan tiga premis menjual penutup hidung dan mulut serta cecair pembasmi kuman dengan harga tidak munasabah di negeri ini.

Pengarahnya, Norena Jaafar berkata, tiga premis termasuk stesen minyak, farmasi dan kedai runcit di sekitar daerah Melaka Tengah dikesan menjual produk berkenaan dengan harga melebihi tiga kali ganda seunit.

Katanya, susulan aduan orang awam, sepasukan anggota dari Bahagian Penguatkuasaan KPDNHEP negeri melakukan operasi ke tiga premis berkenaan.

“Hasil siasatan mendapati peniaga berkenaan menjual penutup hidung dan mulut dengan harga RM1 berbanding 80 sen harga kawalan yang ditetapkan, manakala harga bagi seunit cecair pembasmi kuman sekitar RM3 dinaikkan sehingga hampir RM15 sebotol.

“Susulan itu, peniaga berkenaan diambil tindakan mengikut Seksyen 14 Akta Kawalan Harga Anti Pencatutan 2011 dan boleh didenda hingga RM100,000 atau dipenjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

“Mereka juga boleh dikompaun hingga RM50,000,” katanya pada sidang media di stor KPDNHEP di Krubong, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Melaka, Muhammad Aizudin Mohd Said.

Sementara itu, Norena berkata, pihaknya memberi jaminan bahawa bekalan penutup hidung dan mulut di negeri ini masih mencukupi untuk keperluan masyarakat.

Katanya, pihaknya turut dimaklumkan, syarikat pengeluar bekalan itu sudah menggandakan pengeluaran produk terbabit dan akan diedarkan di pasaran minggu ini.

“Kita memberi jaminan produk terbabit akan tiba di negeri ini dalam tempoh seminggu bagi mengelakkan kekuranganbekalan itu terus berlaku di negeri ini.

“Pada masa sama, KPDNHEP menegaskan kepada peniaga supaya tidak sesuka hati menaikkan harga barangan berkenaan yang sekali gus boleh menjejaskan keperluan pengguna,” katanya.

Berita Harian X