Jumaat, 7 Februari 2020 | 6:37pm
TAHA (dua dari kiri) dalam operasi pemeriksaan tinjauan penjualan topeng muka di Kota Kinabalu. - Foto Ihsan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Sabah
TAHA (dua dari kiri) dalam operasi pemeriksaan tinjauan penjualan topeng muka di Kota Kinabalu. - Foto Ihsan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Sabah

Tiga premis di Sabah jual topeng muka lebih mahal dikompaun RM30,500

KOTA KINABALU: Tiga premis di negeri ini yang menjual topeng muka lebih daripada harga kawalan ditetapkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah dikenakan kompaun keseluruhan sebanyak RM30,500.

Timbalan Pengarah KPDNHEP Sabah merangkap Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri Sabah, Taha Julai, berkata kompaun itu dikeluarkan susulan pemeriksaan yang dibuat terhadap premis yang menjual topeng muka di sekitar bandar raya ini.

“Satu pemeriksaan khas penjualan topeng muka dilakukan hari ini di premis perniagaan seperti farmasi dan kedai runcit sekitar Kampung Air bagi memastikan peniaga menjual topeng muka pada harga yang telah ditetapkan dan tidak mengambil kesempatan mengaut untung lebih.

“Dari 29 Januari hingga 6 Februari lalu, sebanyak 332 kedai runcit dan kedai borong telah diperiksa. Dalam tempoh itu sebanyak dua tindakan kes telah dihasilkan di Kota Kinabalu dan satu kes di Sandakan membabitkan nilai sitaan keseluruhan RM3,160.

“Bagi ketiga-tiga kes ini KPDNHEP negeri telah mengenakan kompaun sebanyak RM30,500 kerana kesalahan menjual topeng muka melebihi harga kawalan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut berkata pihaknya akan terus melakukan pemantauan secara berterusan.

“Pemantauan akan diteruskan di seluruh negeri Sabah. Sekiranya pengguna menghadapi masalah dari segi harga jualan topeng muka, sila buat aduan ke pejabat KPDNHEP negeri atau cawangan berdekatan,” katanya.

Berita Harian X