Khamis, 6 Februari 2020 | 10:59am

Peniaga wanita rugi RM89,208 jadi mangsa Macau Scam

BERA: Seorang peniaga wanita di sini kerugian RM89,208 selepas terpedaya dengan sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai bank dan polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata kejadian bermula pada 2 Disember lalu apabila wanita berusia 66 tahun itu menerima panggilan daripada seorang wanita memperkenalkan diri sebagai pegawai bank di Kuala Lumpur.

Beliau berkata, suspek memaklumkan mangsa membuat pinjaman dari bank berkenaan di cawangan Serdang Perdana dan berlaku tunggakan bayaran balik mencecah RM50,000.

“Mangsa menafikan perkara itu tetapi panggilan itu disambung kepada anggota polis bagi tujuan semakan sebelum mangsa dimaklumkan dirinya turut dikehendaki atas kes pengubahan wang haram,” katanya kepada media, hari ini.

Beliau menjelaskan, mangsa menafikan dakwaan itu tetapi diminta pula berurusan dengan seorang lagi wanita kononnya pegawai Bank Negara bagi urusan menyelesaikan kes berkenaan.

Katanya, suspek yang kononnya pegawai Bank Negara mengarahkan mangsa memindahkan semua wang simpanannya dari akaun bank lain ke satu akaun bank miliknya.

“Suspek meyakinkan mangsa yang pemindahan itu perlu dibuat bagi tujuan siasatan dan mangsa akur dengan arahan itu. Mangsa bertindak memindahkan wang dari akaun Tabung Haji berjumlah RM65,000 dan wang tunai RM7,450 selepas menggadai barang kemas selain baki simpanan dalam akaun bank.

“Mangsa kemudian diminta mengemaskini akaun banknya itu dengan menukar nombor telefon lama kepada nombor baharu yang diberikan suspek,” katanya.

Mohd Wazir berkata, selepas semua arahan itu diikuti, mangsa membuat semakan akaun bank pada 5 Februari lalu dan terkejut apabila mendapati wang dalam akaun itu berbaki RM63.21 sen.

“Mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bera, semalam selepas menyedari dirinya ditipu sindiket berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta denda jika sabit kesalahan.

Berita Harian X