Isnin, 3 Februari 2020 | 8:45pm

Tak sempat rai hari lahir, anggota tentera maut kemalangan

PORT DICKSON: Seorang anggota tentera maut di tempat kejadian selepas motosikal yang ditunggangnya melanggar belakang sebuah lori yang diparkir untuk kerja penyelenggaraan landskap di Jalan Bandar Springhill di sini petang tadi.

Mangsa, Koperal Mohd Ibnuur Najdaim Hamri, 32, masih beruniform tentera dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Vista Jaya, tiga kilometer dari tempat kejadian.

Menurut penduduk di Taman Vista Jaya yang enggan dikenali berkata, mangsa baru berpindah ke taman ini bakal menyambut ulang tahun kelahiran seminggu lagi.

“Mangsa sudah berkahwin dan belum mempunyai cahaya mata. Saya difahamkan dia baru sahaja berpindah ke sini dan berulang alik ke tempat kerja di Kuala Lumpur.

“Jarak rumah mangsa dari tempat kejadian tidak jauh sekitar tiga kilometer sahaja. Mungkin kerana keletihan, dia gagal mengelak lori yang diparkir,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, dalam kejadian kira-kira jam 3 petang, mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda Desh dipercayai gagal mengelak lalu melanggar sebuah lori satu tan yang diparkir untuk kerja penyelenggaraan lanskap.

“Hasil siasatan, lori itu diletakkan di tepi jalan bagi kerja penanaman pokok dan mangsa dari arah Bandar SpringHill menghala ke Lukut adalah anggota tentera yang bertugas di Kem 93 RASD Kem Impal, Kuala Lumpur.

“Akibat perlanggaran itu, mangsa maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan dibawa ke Hospital Port Dickson bagi tujuan bedah siasat,” katanya ketika dihubungi tadi.

Katanya, pemandu dan dua penumpang lori tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Pemandu dan penumpang lori sedang melakukan kerja-kerja menanam pokok dan tidak berada di dalam lori ketika kejadian.

“Siasatan lanjut masih diteruskan dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Berita Harian X