Jumaat, 31 Januari 2020 | 5:27pm

PGA rampas petrol, diesel

BINTULU: Sindiket penyeludupan diesel dan petrol yang aktif sejak tiga bulan lalu tumpas dengan rampasan sebanyak 25, 400 liter diesel dan 1,700 liter petrol bernilai RM381,112 dalam serbuan dijalankan sepasukan Batalion 12 Pasukan Gerakan Am (PGA) Miri di sebuah stor di Batu 8, Jalan Bintulu - Miri, pagi semalam.

Pegawai Memerintah Batalion 12 PGA Miri, Superintendan Tan Hiap Seng, berkata dalam serbuan itu turut menahan tiga lelaki tempatan berusia antara 36 hingga 52 tahun dipercayai penjaga stor berkenaan.

“Pemeriksaan yang kita jalankan ke dalam stor menemui 9,400 liter diesel dan 1,700 liter petrol yang disimpan dalam sembilan tong plastik warna putih termasuk peralatan mengepam minyak,” katanya dalam kenyatannya hari ini.

Katanya, pemeriksaan di perkarangan stor turut menemui 16, 000 liter lagi diesel dalam tangki lori minyak yang diparkirkan di hadapan stor.

“Hasil semakan mendapati bahan api terbabit tidak mempunyai permit jualan yang sah sekali gus melanggar undang-undang syarat jual beli ditetapkan oleh Kementerian Perdagangan Dal Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP),” katanya.

Kesemua suspek berserta barangan rampasan, katanya akan diserahkan kepada KPDNHEP Cawangan Bintulu bagi tindakan selanjutnya.

Kes ini akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Berita Harian X