Khamis, 30 Januari 2020 | 3:19pm

Jenayah komersial babitkan kerugian RM6.2 bilion

ALOR SETAR: Sebanyak 25,000 kertas siasatan membabitkan kes jenayah komersial dibuka di seluruh negara membabitkan nilai kerugian berjumlah RM6.2 bilion bagi tempoh Januari hingga Disember tahun lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Zakaria Ahmad, berkata sepanjang tempoh sama, pihaknya juga menahan 15,000 individu yang terbabit dalam kegiatan jenayah berkenaan.

“Daripada jumlah jenayah komersial yang dicatatkan, sebanyak 65 peratus membabitkan penipuan scam termasuk kes pinjaman tidak wujud, ‘Macau Scam’, ‘Love Scam’ dan ‘African Scam’ yang menggunakan internet sebagai medium untuk mencari mangsa.

“Penjenayah yang melakukan jenayah komersial ini sebenarnya tidak memerlukan tenaga atau masa yang banyak kerana hanya perlukan internet dan telefon bimbit. Mereka ini cuba nasib, dalam 10 orang yang mereka tipu mesti akan ada seorang yang terpedaya,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau menyampaikan pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) Siri 1/2020 kepada 396 penerima di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah yang turut dihadiri Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Muhammad Azlee Abdullah.

Sementara itu, Mohd Zakaria meminta masyarakat lebih peka dan melakukan semakan dengan pihak berkuasa atau agensi yang terbabit sekiranya menerima panggilan atau khidmat pesanan ringkas (SMS) meragukan bagi mengelakkan kerugian.

“Kita (JSJK) telah banyak buat kempen kesedaran berkaitan penipuan scam ini tetapi masih ramai lagi yang tertipu. Kepercayaan kepada penjenayah scam ini semakin meningkat sebab itu ada dari kalangan terpelajar dan profesional yang turut terpedaya.

“Jadi, kita minta masyarakat untuk tidak memberikan nombor akaun peribadi dan menyemak terlebih dahulu sebelum melakukan sebarang transaksi ke dalam akaun yang diberikan. Proses transaksi sekarang pula sangat mudah kerana semuanya dalam talian sahaja,” katanya.

Katanya, masyarakat boleh bertanya atau menyalurkan aduan berkaitan penipuan scam atau jenayah komersial menerusi laman sosial media PDRM serta menghubungi atau datang terus ke balai polis yang berdekatan. – BERNAMA

Berita Harian X