Khamis, 30 Januari 2020 | 3:12pm

Imam tipu pengurus, bantu dapatkan sijil nikah

KUALA LUMPUR: Seorang imam didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas tuduhan menipu seorang pengurus syarikat minuman berjumlah RM3,800 bagi mendapatkan sijil nikah.

Mohd Mustakim Ithnin, 36, mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Tawfiq Affandy Chin.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Mohd Mustakim didakwa menipu Fazal Mohd Hussain, 40, dengan memperdayakan mangsa untuk mempercayai bahawa tertuduh boleh mendapatkan sijil nikah Malaysia yang sah.

Tindakan itu mendorong mangsa untuk menyerahkan pembayaran sebanyak RM2,500 melalui serahan tangan dan RM1,300 yang dimasukkan ke dalam akaun milik tertuduh, di sebuah kedai makan, di Jalan Ipoh, di sini, antara 7 dan 18 Oktober tahun lalu.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurilya Ellyna Nor Azmal menawarkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh, bagaimanapun Mohd Mustakim yang tidak diwakili peguam memohon dikenakan jaminan rendah dengan alasan perlu menanggung dua anak.

Mahkamah membenarkan membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 5 Mac ini untuk sebutan semula kes.

Berita Harian X