Rabu, 29 Januari 2020 | 6:15pm

Mahkamah tolak permohonan ikat jamin ADUN Gadek

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, menolak permohonan ikat jamin Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gadek, G Saminathan, yang didakwa atas tuduhan memiliki item dan memberi sokongan berkaitan kumpulan pengganas LTTE.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh, dalam penghakimannya, berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengklasifikasikan LTTE sebagai kumpulan pengganas.

Ahmad Shahrir berkata, KDN melalui Seksyen 66B dan 66D Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) mewartakan LTTE sebagai entiti ditentukan berkaitan dengan suatu perbuatan keganasan yang mempunyai erti yang sama dengan Seksyen 130B Kanun Keseksaan.

“Walaupun terdapat dakwaan bahawa LTTE sudah dibubarkan di negara asalnya, Sri Lanka, namun, Malaysia masih mewartakan kumpulan itu sebagai pengganas dan KDN masih belum mengeluarkannya daripada senarai pewartaan,” katanya.

Tambah Ahmad Shahrir, kesalahan dilakukan tertuduh adalah mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sepanjang hayat atau maksimum 30 tahun atau denda, jika sabit kesalahan.

“Kebiasaannya, mahkamah tidak dapat memberikan jaminan terhadap kesalahan yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau hukuman mati,” katanya.

Ahmad Shahrir berkata, berdasarkan memo yang dikeluarkan sebuah hospital pakar di Balakong bertarikh 30 November 2019, mahkamah juga mendapati tiada bukti kukuh menunjukkan masalah kesihatan yang dihadapi tertuduh adalah mengancam nyawa.

Sehubungan itu, mahkamah menetapkan 11 Februari ini untuk pengurusan kes.

Sementara itu, peguam Ramkarpal Singh yang mewakili Saminathan, ketika ditemui media, berkata pihaknya kecewa dengan keputusan mahkamah itu.

“Kami akan berbincang dengan anak guam berhubung tindakan yang akan diambil susulan keputusan mahkamah hari ini. Kami berkemungkinan akan memfailkan rayuan terhadap keputusan itu atau mengemukakan permohonan baharu,” katanya.

Pada prosiding itu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Firdaus Abu Hanipah dan Rohaiza Abd Rahman.

Pada 20 Januari lalu, Saminathan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini atas tuduhan memberi sokongan kepada kumpulan itu dalam satu majlis di Dewan Kasturi Ayer Keroh, Jalan Utama, Taman Ayer Keroh Heights, Melaka antara jam 8.30 hingga 10.50 malam, pada 28 November 2018.

Dia turut didakwa memiliki item berkaitan kumpulan pengganas itu di dalam sebuah telefon bimbit di Pejabat Exco Perpaduan Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna, Jabatan Ketua Menteri, Kompleks Seri Negeri, di Melaka, jam 10.25 pagi, pada 10 Oktober 2019.

Pada 18 Disember lalu, Mahkamah Sesyen Melaka menolak permohonan jaminan Saminathan kerana kes berkenaan membabitkan keselamatan negara.

Saminathan turut menghadapi satu pertuduhan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas LTTE menggunakan aplikasi Facebook.

Peguam, Ramkarpal Singh bersama Penasihat DAP, Lim Kit Siang meninggalkan mahkamah selepas keputusan mahkamah menolak jaminan ADUN Gadek, G Saminathan, di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Peguam, Ramkarpal Singh bersama Penasihat DAP, Lim Kit Siang meninggalkan mahkamah selepas keputusan mahkamah menolak jaminan ADUN Gadek, G Saminathan, di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Berita Harian X