Jumaat, 24 Januari 2020 | 10:35am
Dua anggota bomba dari Balai JBPM Pokok Sena memadam kebakaran hutan di Jalan Langgar-Pokok Sena semalam. - Foto BERNAMA
Dua anggota bomba dari Balai JBPM Pokok Sena memadam kebakaran hutan di Jalan Langgar-Pokok Sena semalam. - Foto BERNAMA

Cabaran getir Bomba Kedah ketika cuaca panas

ALOR SETAR: Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kedah berdepan pelbagai tugas dan cabaran membabitkan kes kebakaran besar berikutan cuaca panas melanda negeri ini.

Dalam kes terbaru, anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani terpaksa bersengkang mata lebih empat hari untuk memadam api longgokan sampah di Semeling, selain memadam kebakaran di kilang perindustrian.

Sebelum itu, anggota BBP Jitra pula terpaksa bertungkus lumus hampir lapan jam memadam kebakaran di puncak bukit di Kampung Wang Perah.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, JBPM Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain, berkata sepanjang cuaca panas bermula sejak Disember lalu, Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Kedah menerima sekurang-kurangnya 30 atau 40 panggilan sehari membabitkan kebakaran belukar, longgokan sampah, hutan dan lalang.

Beliau berkata, berikutan itu hanya 20 peratus anggota dari 960 anggota termasuk Pegawai Bomba Bantuan (PBB) dibenarkan bercuti, manakala anggota lain bertugas mengikut syif.

“Berdasarkan ramalan yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), cuaca panas ini dijangka berterusan sehingga Mac ini.

“Dan setakat ini beberapa daerah terutamanya Langkawi tidak menerima langsung hujan sejak lebih sebulan lalu,” katanya ketika ditemui di pejabatnya.

Mohamadul Ehsan berkata, dalam keadaan cuaca panas, puntung rokok yang masih bernyala dibuang di kawasan kering dan ditiup angin antara faktor yang boleh menyebabkan kebakaran lebih besar berlaku.

Beliau berkata, berdasarkan statistik kebakaran membabitkan belukar dan lalang yang diterima sebelum ini, sebanyak 430 kes membabitkan kebun dan ladang (11), manakala hutan pula 25 kes yang direkodkan sejak 1 Januari hingga hari ini.

“Antara BBP yang paling banyak menerima kes kebakaran belukar dan lalang ialah di Sungai Petani iaitu 71 kes, diikuti Amanjaya (50), Alor Setar (41), Bukit Kayu Hitam (40).

“Selain kebakaran hutan, belukar, lalang dan hutan yang berlaku sepanjang awal tahun, anggota bomba juga terpaksa berdepan dengan kes kebakaran rumah, kilang serta kes khidmat khas lain,” katanya.

Mohamadul Ehsan berkata, sepanjang tahun lalu, sebanyak 1,785 kes dilaporkan membabitkan kebakaran belukar dan lalang, 61 kes kebakaran kebun dan ladang serta 34 kes kebakaran hutan.

Katanya, JBPM Kedah mempunyai lori tangki berkapasiti 20,000 liter dan 10,000 liter yang diletakkan di beberapa balai terutama yang berpotensi berlaku kebakaran besar.

Katanya, selain itu sumber air berhampiran seperti sungai, longkang dan parit juga dapat membantu memadam kebakaran di kawasan tertentu.

“Anggota kami juga turut mendapat bantuan dari Pasukan Bomba Sukarela (PBS) di seluruh negeri ini untuk membantu mempercepatkan pemadaman.

“Orang ramai dinasihatkan tidak melakukan pembakaran terbuka pada waktu siang selain mengawal pembakaran sampah dan tidak meninggalkan bara api di kawasan kering yang boleh mencetuskan kebakaran lebih besar,” katanya.

Berita Harian X