Rabu, 22 Januari 2020 | 6:50pm
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penggaram, Gan Peck Cheng (kanan) dan Pengurus Pejabat Perkeso Cawangan Batu Pahat, Suhara Mustaffa (dua dari Kanan) ketika hadir untuk menyampaikan cek pampasan kepada Lim Shi Tian di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat. - NSTP/Adnan Ibrahim
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penggaram, Gan Peck Cheng (kanan) dan Pengurus Pejabat Perkeso Cawangan Batu Pahat, Suhara Mustaffa (dua dari Kanan) ketika hadir untuk menyampaikan cek pampasan kepada Lim Shi Tian di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat. - NSTP/Adnan Ibrahim

Kegembiraan mahu beli-belah sambut Tahun Baharu Cina berakhir tragedi

BATU PAHAT: Kegembiraan empat beranak mahu membeli-belah untuk persediaan menyambut Tahun Baharu Cina, berakhir tragedi apabila dua terkorban dalam kemalangan di Kilometer 122 Jalan Johor Bahru - Melaka, berhampiran Tanjung Laboh, di sini, 10 Januari lalu.

Pasangan suami isteri, Teo Swee Eng, 58, dan Lim Leng Chu, 59, maut dalam nahas kira-kira jam 2.50 petang itu, manakala dua anak mereka cedera apabila kereta dinaiki keluarga terbabit bertembung dengan sebuah lori membawa muatan tong gas.

Insiden itu menyebabkan Lim Shi Tian, 15, patah kaki kiri, manakala abangnya, Lim Kok Hau, 28, yang memandu kereta Nissan Almera terbabit, cedera ringan dan dirawat di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI).

Shi Tian berkata, kemalangan berlaku ketika mereka sekeluarga dalam perjalanan ke bandar Batu Pahat untuk membeli barangan menyambut Tahun Baharu Cina, tidak lama lagi.

“Abang amat terkilan kerana hasrat menyambut Tahun Baharu Cina secara meriah dengan pakaian baharu untuk kami sekeluarga, tidak kesampaian,” katanya.

Shi Tian berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas penyampaian Faedah Pengurusan Mayat (FPM) daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penggaram, Gan Peck Cheng, dan Pengurus Pejabat PERKESO Cawangan Batu Pahat, Suhara Mustaffa, di HSNI, hari ini.

Sementara itu, Suhara berkata, hasil siasatan Skuad PERKESO Prihatin mendapati waris kepada mangsa kemalangan terbabit layak menerima FPM berjumlah RM4,000, iaitu masing-masing RM2,000 untuk Swee Eng dan Leng Chu.

“PERKESO juga akan membayar Faedah Pencen Penakat kepada waris Orang Berinsurans (OB) secara bulanan mulai Februari depan. Jumlah bayaran masih dalam pengiraan pihak kami.

“Faedah Pencen Penakat ini akan dibayar hingga anak OB ini mencapai umur 21 tahun dan diteruskan jika masih melanjutkan pengajian pada peringkat ijazah pertama,” katanya.

Berita Harian X