Rabu, 22 Januari 2020 | 12:52pm
VIDEO seorang lelaki mati ditembak di kedai makan yang tular di media sosial.

Video viral lelaki mati ditembak bukan di Batu Kawa

PADAWAN: Polis tidak menerima sebarang laporan berkaitan kes seorang lelaki mati ditembak di kedai makan seperti rakaman dalam video yang tular di media sosial.

Sehubungan itu, Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Aidil Bolhassan, berkata tidak ada siasatan dijalankan berhubung kes itu.

“Tiada laporan diterima mengenai kes ini, jadi tiada siasatan dijalankan. Kita berharap orang ramai tidak mudah panik menerima berita yang tidak ada kesahihan itu,” katanya di sini hari ini.

Video dimuat turun seorang pengguna media sosial menggunakan akaun Lim Eddy yang tular itu, difahamkan berlaku di Ecuador, bukannya di Batu Kawa.

Sehubungan itu, Aidil menasihatkan masyarakat supaya berhati-hati menyebarkan berita yang belum sahih di media sosial.

“Buatlah semakan pengesahan dengan polis bagi memastikan kesahihannya. Penularan maklumat salah akan mendatangkan kegusaran dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Berita Harian X