Rabu, 22 Januari 2020 | 10:43am
KETUA Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali. NSTP/Farizul Hafiz Awang

Polis beri perhatian 2 lokasi panas sempena Program Bandar Selamat

KUANTAN: Sebanyak dua lokasi panas di sekitar bandar ini dikenal pasti menjadi lokasi penagihan dadah dan kegiatan mencuri motosikal yang akan diberi perhatian polis, sempena Program Bandar Selamat.

Dua lokasi berkenaan adalah di Tanah Putih dan bandar Kuantan di Jalan Abdul Aziz ,sehingga di belakang bangunan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, kawasan seluas 46.5 hektar itu akan dipantau pihak polis adalah antara fasa pertama dalam program berkenaan.

“Tanah Putih dipilih berdasarkan tinjauan yang dibuat terhadap penduduk di sekitarnya yang mendakwa, sering berlaku jenayah dan penagihan dadah.

“Di Jalan Abdul Aziz pula kerana dilaporkan berlaku kes ragut dan curi motosikal. Pihak polis akan memasang lampu di kawasan berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mohamad Noor berkata, selain pencahayaan, kemudahan pejalan kaki juga akan ditambah baik bagi mengelak orang ramai menjadi mangsa ragut.

“Sebagai langkah pencegahan, satu papan tanda peringatan akan dipasang di lokasi terbabit supaya orang ramai peka dengan keadaan sekeliling. Ia bukan bertujuan menakut-nakutkan orang ramai ,sebaliknya memberi mesej supaya berhati-hati ketika melalui kawasan terbabit,” katanya.

Beliau yang dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Program Bandar Selamat 2020 berkata, pihaknya berhasrat menjadikan bandar Kuantan selamat dan orang ramai selesa dengan persekitarannya.

Berita Harian X