Rabu, 22 Januari 2020 | 10:04am
KOMANDER PPM Wilayah 5 Sarawak, Asisten Komisioner Shamsol Kassim (kiri) menunjukkan rokok yang dirampas ketika mengadakan sidang media di bilik mesyuarat Ibu Pejabat PPM Wilayah 5, semalam. - Foto Norsyazwani Nasri

PPM rampas rokok seludup

KUCHING: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 5 Sarawak merampas rokok belum dibayar cukai bernilai RM488,000 dalam serbuan di sebuah rumah di Kota Sentosa, Batu 7, di sini, petang kelmarin.

Komander PPM Wilayah 5 Sarawak, Asisten Komisioner Shamsol Kassim berkata, seorang lelaki warga tempatan berusia 37 tahun yang dipercayai menjadi dalang penyeludupan rokok secara haram ke pasaran tempatan turut ditahan dalam serbuan pada jam 4.50 petang itu.

“Ketika siasatan awal dijalankan, suspek gagal menunjukkan sebarang dokumen pengesahan berkaitan barang yang ditemui di kedua-dua lokasi serbuan.

“Dalam serbuan pertama, kami menemui lima kotak besar berisi rokok pelbagai jenama belum dibayar cukai bernilai RM40,000 berada di dalam sebuah kenderaan jenis Proton Arena milik suspek,” katanya pada sidang media di bilik mesyuarat Ibu Pejabat PPM Wilayah 5, semalam.

Katanya, pemeriksaan lanjut kemudiannya dilakukan di sebuah rumah tidak bernombor berdekatan lokasi serbuan pertama dan anggotanya berjaya menemui 56 kotak lagi yang mengandungi rokok seludup yang bernilai RM448,000.

“Suspek diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Balai Polis Daerah Kota Sentosa manakala kesemua barang rampasan, termasuk Proton Arena milik suspek dibawa ke Markas PPM Wilayah 5 untuk tindakan selanjutnya.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya.

Shamsol berkata, ia adalah kejayaan ke-14 pasukannya di bawah Akta Kastam 1967 daripada 20 kes yang direkodkan sejak 1 Januari hingga 20 Januari tahun ini.

“Sehingga 20 Januari tahun ini nilai rampasan sebanyak RM2.1 juta telah berjaya dilakukan. Serbuan akan terus dilakukandi seluruh bahagian Sarawak bagi memastikan aktiviti penyeludupan ini dapat dilumpuhkan sepenuhnya,” katanya.

Berita Harian X