Rabu, 22 Januari 2020 | 9:49am
JABATAN Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) merampas 30 kilogram produk berasaskan daging babi tanpa permit sah bernilai RM5,000 di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), semalam. - Foto ihsan MAQIS

Produk berasaskan babi disimpan dalam bagasi

KOTA BHARU: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) merampas 30 kilogram produk berasaskan daging babi tanpa permit sah bernilai RM5,000 di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), di sini semalam.

Pengarah MAQIS Kelantan, Mohd Azam Yahya, berkata dalam gerakan kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, pihaknya memeriksa 10 warga Singapura sebelum menemui produk terbabit yang dipercayai dibawa masuk untuk sambutan Tahun Baharu Cina.

Katanya, produk berasaskan daging babi itu dibungkus dengan pembalut plastik yang kemudian diletakkan dalam bagasi masing-masing, namun dapat dikesan menggunakan mesin pengimbas.

“Produk terbabit untuk kegunaan sendiri dan tidak mempunyai permit import sah yang dikeluarkan oleh MAQIS untuk kemasukan, selain tiada sijil kesihatan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa negara asal.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728),” katanya.

Seksyen berkenaan, katanya, memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara sehingga enam tahun atau kedua-duanya sekali.

Mohd Azam berkata, kemasukan produk berasaskan daging babi memang tinggi terutama menjelang perayaan Tahun Baharu Cina.

Kementerian Industri Asas Tani sudah mengeluarkan arahan larangan pengimportan produk babi dari 13 negara, iaitu China, Thailand, Vietnam, Laos, Poland, Belgium, Kemboja, Hong Kong, Myanmar, Laos, Korea, Filipina dan Indonesia.

Larangan berkenaan sebagai langkah pencegahan penyebaran virus African Swine Fever (ASF), penyakit haiwan yang boleh menyebabkan kematian babi dan babi liar.

“Virus ASF memberi kesan buruk untuk jangka panjang, justeru dimohon semua mematuhi larangan pengimportan babi dan produk berasaskan babi terutama ketika musim perayaan ini.

“MAQIS sentiasa memantau setiap kemasukan keluaran pertanian melalui pintu-pintu masuk yang sah supaya isu membabitkan aspek halal, keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak berbahaya dapat dibendung serta dikawal,” katanya

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X