Rabu, 22 Januari 2020 | 9:18am
SEORANG wanita maut selepas dirempuh motosikal di Jalan Oya, berdekatan Sekolah Menengah Saint Elizabeth, Sibu, petang semalam. - Foto Harun Yahya

Polis buru penunggang motosikal langgar wanita

SIBU: Seorang wanita maut selepas dirempuh motosikal di Jalan Oya, berdekatan Sekolah Menengah Saint Elizabeth, di sini, petang semalam.

Mangsa, Len Tanbo, 63, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan di kepala.

Kejadian kira-kira jam 5 petang itu berlaku ketika mangsa melintas jalan.

Difahamkan, sebuah motosikal dipandu laju tiba-tiba datang dan gagal mengelak lalu merempuh mangsa.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Stanley Johnathan Ringgit, berkata selepas merempuh mangsa, penunggang motosikal itu bagaimanapun, terus memecut melarikan diri.

Sehubungan itu, polis meminta bantuan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya tampil bagi membantu siasatan.

“Sesiapa yang mempunyai maklumat kes itu diminta menghubungi balai polis terdekat atau pegawai penyiasat kes iaitu Inspektor Mohd Shah Rizal Othman di talian 019-2986905 atau Sarjan Mohd Ali Nordin di talian 013-5723330.

“Kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Berita Harian X