Selasa, 21 Januari 2020 | 12:33pm
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Maut terperosok bawah kereta

JITRA: “Sebaik tiba di lokasi kemalangan, saya nampak penunggang motosikal yang juga lelaki warga emas, terperosok di bawah kereta Perodua Myvi itu dengan keadaan berlumuran darah.

“Ketika itu, mangsa sudah tidak bergerak dan tidak lama kemudian anggota bomba sampai di tempat kejadian untuk membantu mengeluarkan mangsa,” kata Muhammad Ayman Joshua, 33.

Dalam kejadian jam 8.30 pagi tadi, mangsa berusia lingkungan 60-an menunggang motosikal seorang diri sebelum terbabit dalam kemalangan di Kilometer 22.2, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan, Simpang Tiga Asun, dekat sini.

Muhammad Ayman yang juga pemandu trak penunda persendirian berkata, rakannya berada di lokasi kejadian memaklumkan mangsa menunggang motosikal seorang diri, dipercayai dalam perjalanan ke tempat kerja.

“Keadaan mangsa kelihatan sangat parah sebelum mangsa disahkan meninggal dunia,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan jam 8.45 pagi berhubung kemalangan itu.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Safiron Sudin tiba di lokasi jam 8.51 pagi.

“Setibanya di lokasi didapati didapati berlaku kemalangan membabitkan kereta dan motosikal jenis Honda EX5 yang ditunggangi mangsa.

“Tindakan BBP Jitra melakukan kerja penyelamatan dengan menggunakan peralatan rescue tools untuk mengeluarkan mangsa tersepit kira-kira lapan minit,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohamadul Ehsan berkata, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang tiba di lokasi tidak lama kemudian.

Beliau berkata, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

“Operasi tamat sepenuhnya pada jam 9.41 pagi,” katanya.

Berita Harian X