Selasa, 21 Januari 2020 | 12:04pm
Kakitangan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) memusnahkan tanaman bunga haram dalam kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) Sungai Ichat. - NSTP/Mohd Rafi Mamat
Kakitangan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) memusnahkan tanaman bunga haram dalam kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) Sungai Ichat. - NSTP/Mohd Rafi Mamat

Tanaman sayur, bunga haram dimusnahkan

CAMERON HIGHLANDS: Walaupun berat hati untuk memusnahkan pelbagai pokok sayur dan pokok bunga yang ditanam secara haram di Hutan Simpan Kekal (HSK) Sungai Ichat, di sini namun demi tugas tanggungjawab terpaksa dilakukan.

Tugas berkenaan dipikul lebih 50 kakitangan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) dan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Pahang yang turut menggunakan pelbagai jenis jentera berat.

Seorang kakitangan JPNP yang hanya mahu dikenali sebagai Sulaiman, 43, berkata, walaupun berat hati untuk memusnahkan pelbagai pokok sayur dan bunga, ia terpaksa dilakukan kerana pengusaha tanaman terbabit melakukan kesalahan.

Katanya, selain memusnahkan tanaman pihaknya turut bertindak meruntuhkan binaan dan memutuskan sistem bekalan air dalam hutan simpan berkenaan yang menjadi kawasan tadahan air penduduk setempat.

Menurutnya, operasi lestari membabitkan kawasan HSK Sungai Ichat seluas 121 hektar, sebelum ini diteroka secara haram oleh pekebun hingga menyebabkan pencemaran berlaku pada sumber air di situ.

“Saya sedih setiap kali memusnahkan pokok sayur dan bunga yang tumbuh subur seperti kobis, sedia dituai tetapi dibiarkan begitu sahaja oleh pekebun.

“Saya tidak faham, kenapa pekebun tidak memungut hasil tanaman mereka sedangkan, pihak berkuasa sudah memberi masa secukupnya untuk mereka berbuat demikian bagi mengelak kerugian,” katanya.

Beliau berkata, para atau junjung pokok kacak buncis dan jenis lain dimusnahkan secara serentak dengan cara menebang tiang utama, sekali gus keseluruhan binaan berkenaan tumbang.

Sulaiman berkata, struktur bentuk muka bumi kebun itu sedikit menyukarkan mereka yang terbabit dengan operasi lestari kali ke dua ini.

Rakannya yang hanya dikenali sebagai Mohd Hamid, 45, berkata, dia ditugaskan untuk memusnahkan kawasan kebun bunga yang kebanyakannya cantik berbunga.

“Binaan di kawasan kebun bunga dimusnahkan, timbul rasa sayang melihat pokok bunga yang ditinggalkan di tempat terbuka menyebabkan ia musnah.

“Pokok bunga kekwa kuning dan putih banyak ditanam di HSK Sungai Ichat, semua tanaman berkenaan akan mati tanpa penjagaan,” katanya yang berharap kawasan berkenaan tidak lagi diceroboh.

Berita Harian X