Ahad, 19 Januari 2020 | 1:06pm

Akauntan ditipu sindiket pinjaman di laman sosial

KUANTAN: Seorang akauntan di sini hanya mampu ‘berputih mata’ apabila kerugian RM23,700 selepas diperdayakan sindiket pinjaman tidak wujud melalui laman sosial Facebook.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, kejadian bermula pada 1 Januari lalu apabila wanita itu tertarik dengan iklan pinjaman yang ditawarkan sindiket berkenaan di Facebook.

“Mangsa berusia 33 tahun kemudian menekan ‘link’ yang ada di dalam Facebook berkenaan sebelum meletakkan nombor telefonnya di ‘link’ itu.

“Esoknya mangsa menerima mesej melalui aplikasi WhatsApp daripada seorang suspek yang memperkenalkan diri sebagai ‘Jeffry’,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Beliau berkata, hasil perbincangan mangsa dengan suspek, bersetuju untuk membuat pinjaman wang sebanyak RM500,000.

“Untuk tujuan itu, suspek meminta mangsa menyerahkan salinan kad pengenalan, salinan sijil Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), penyata akaun dan laporan audit.

“Selepas menyerahkan semua dokumen itu, suspek menyatakan permohonan pinjaman mangsa diluluskan, namun perlu membuat beberapa bayaran,” katanya.

Beliau berkata, mangsa diminta membuat bayaran untuk membuka akaun, insuran dan yuran pinjaman berkenaan.

“Mangsa memasukkan wang sebanyak RM23,700 melalui pemindahan secara dalam talian sebanyak empat kali ke dalam tiga akaun berbeza.

“Mangsa juga diminta membuat lagi bayaran sebanyak RM8,500 kononnya dia tersalah memasukkan wang ke dalam akaun orang lain,” katanya.

Mohd Wazir berkata, namun mangsa tidak membuat bayaran berkenaan sebelum membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini, semalam selepas rasa ditipu sindiket berkenaan.

“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan boleh dikenakan penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan,” katanya.

Berita Harian X