Sabtu, 18 Januari 2020 | 1:43pm
KETUA Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan menunjukkan dadah yang dirampas pada sidang media di Kota Bharu, hari ini. - Foto Zaman Huri Isa
KETUA Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan menunjukkan dadah yang dirampas pada sidang media di Kota Bharu, hari ini. - Foto Zaman Huri Isa

Polis Kelantan rampas dadah bernilai RM141,000

KOTA BHARU: Polis menahan tiga lelaki dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM141,000, dalam dua serbuan berasingan, di Ketereh, dekat sini.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan, berkata dalam serbuan pertama polis menahan seorang lelaki berusia 42 tahun, di rumah di Kampung Petani, kira-kira jam 12 tengah hari.

Katanya, hasil pemeriksaan di bilik rumah berkenaan menemui beg hitam mengandungi tiub straw berisi ketulan kristal dipercayai syabu seberat 0.2 gram.

“Pemeriksaan lanjut di luar rumah iaitu di dalam topi keledar menjumpai satu plastik mengandungi botol plastik cerah diisi serbuk putih seberat 40 gram dipercayai dadah jenis heroin.

“Suspek berasal dari Kota Bharu itu mempunyai empat rekod lampau berkaitan dadah. Suspek direman seminggu dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Hasanuddin berkata, dalam serbuan kedua di Kampung Bukit Cina, jam 12.15 tengah malam semalam menahan dua lelaki berusia 40 dan 51 tahun di sebuah rumah.

Katanya, hasil pemeriksaan di dalam dan luar rumah menemui 50 botol dipercayai dadah jenis heroin dan 2,100 biji dipercayai pil yaba.

“Kedua-dua suspek positif methamphetamin dan direman selama seminggu. Seorang suspek mempunyai empat rekod lampau. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua serbuan itu membabitkan rampasan dadah bernilai RM141,000.

Berita Harian X