Jumaat, 17 Januari 2020 | 12:54pm

Abang ugut adik dengan kapak

KEPALA BATAS: Seorang lelaki yang dipercayai mengalami kemurungan ditahan polis, selepas dia mengugut adik lelakinya dengan kapak, dalam kejadian di Penaga, dekat sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata suspek berusia 35 tahun itu ditahan kira-kira jam 7.15 petang oleh sepasukan anggota polis menerusi Op Cantas.

Katanya, suspek sebelum itu dikatakan mengamuk dan merosakkan barang di rumah keluarganya serta mengugut untuk membakar rumah jiran.

“Mangsa berusia 22 tahun memaklumkan menerima panggilan telefon daripada ibunya kira-kira jam 5.30 petang memberitahu abangnya mengamuk di rumah.

“Mangsa (adik suspek) pergi ke rumah itu dan cuba menenangkan abangnya tetapi suspek bertindak mengejar mangsa sejauh kira-kira 20 meter sambil memegang kapak.

“Mangsa berjaya menyelamatkan diri dan membuat laporan sejurus selepas itu,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Noorzainy berkata, siasatan polis mendapati suspek kerap mengamuk sebelum ini.

Katanya, suspek dikatakan mengalami kemurungan sejak berpisah dengan isterinya tahun lalu dan sering bertindak agresif dengan merosakkan barang di rumah dan mengugut ahli keluarganya.

“Polis merampas kapak yang disyaki digunakan oleh suspek ketika kejadian. Ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif penggunaan dadah malah, selain tidak memiliki sebarang rekod jenayah,” katanya.

Beliau berkata, direman untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Berita Harian X