Khamis, 9 Januari 2020 | 10:50pm
SEORANG pelajar dipercayai bersekolah di sekolah agama daerah ini yang ditahan dan dibuli sekumpulan pelajar ketika melalui satu kawasan perumahan yang tular dalam rakaman video di laman sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp sejak semalam. NSTP/Ihsan Pembaca
SEORANG pelajar dipercayai bersekolah di sekolah agama daerah ini yang ditahan dan dibuli sekumpulan pelajar ketika melalui satu kawasan perumahan yang tular dalam rakaman video di laman sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp sejak semalam. NSTP/Ihsan Pembaca

Pelaku buli ditangkap polis

MACHANG: Pelaku dalam video buli yang tular di daerah ini sudah ditangkap polis Ibu Pejabat Daerah (IPD) Machang, hari ini.

Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintendan Ganti Jimmy, berkata pihaknya menahan empat remaja berusia antara 13 hingga 15 tahun dipercayai terbabit dalam kejadian itu.

Katanya, hasil siasatan awal, kejadian dipercayai berlaku pada jam 2 petang 21 November tahun lalu di belakang sebuah sekolah di Machang.

“Mangsa berusia 14 tahun itu datang membuat laporan polis hari ini selepas video kejadian ditularkan sejak semalam.

“Remaja itu mendakwa pada hari kejadian, dia dipanggil rakannya ke lokasi di belakang sekolah sebelum pelaku yang juga rakan dikenalinya meminta wang daripadanya dan mangsa memberi RM5, tetapi tidak mencukupi sebelum ditendang pelaku,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, mangsa memberitahu sebelum disepak pelaku, suspek turut menyepak rakan yang memanggilnya ke lokasi kejadian.

Sejak semalam, tular satu rakaman video berdurasi 29 saat memaparkan seorang remaja lelaki memeras ugut seorang pelajar lengkap berpakaian seragam sekolah agama sebelum menyepak tubuh mangsa.

Remaja berkenaan turut mengeluarkan kata-kata kurang sopan sehingga menimbulkan kemarahan netizen yang menonton rakaman itu.

Video yang tular itu mendapat ratusan komen dan 1.6 ribu perkongsian dimuat naik pengguna laman Facebook sejak semalam.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X