Khamis, 9 Januari 2020 | 4:20pm
How Chui Pin (kanan) dijatuhkan hukuman denda RM19,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Seremban atas tiga pertuduhan membantu menyembunyikan wang bukan miliknya dua tahun lalu. - Foto NSTP/Iqmal Haqim Rosman
How Chui Pin (kanan) dijatuhkan hukuman denda RM19,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Seremban atas tiga pertuduhan membantu menyembunyikan wang bukan miliknya dua tahun lalu. - Foto NSTP/Iqmal Haqim Rosman

Ibu tunggal didenda RM19,000 sembunyi wang

SEREMBAN: Seorang kerani dijatuhi hukuman denda sebanyak RM19,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Seremban, di sini, hari ini, bagi pertuduhan membantu menyembunyikan wang berjumlah RM28,000 yang bukan miliknya, dua tahun lalu.

Tertuduh, How Chui Pin, 48, yang juga seorang ibu tunggal membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret V Vanita.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan curangnya menolong menyembunyikan wang RM3,000, RM15,000 dan RM10,000, yang dimasukkan penama, Mak Meow Hoo, ke dalam akaun Hong Leong Bank yang didaftarkan atas namanya untuk mempercayai bahawa ia bukanlah hak tertuduh.

Semua kesalahan itu dilakukan di Hong Leong Bank, Jalan Dato’ Bandar Tunggal, di sini pada 20 Mac, 16 April dan 27 April 2018.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Jiwan Kaur Malkith Singh, manakala tertuduh diwakili peguam Noor Azizi Abdul Aziz.

Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh membayar denda sebanyak RM19,000 dengan seorang penjamin dan jika gagal, boleh dihukum penjara enam bulan.

Sementara itu, Chui Pin dalam Mahkamah Majistret berasingan mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan membantu menyembunyikan wang berjumlah RM32,000 bukan miliknya, dua tahun lalu.

Pengakuan itu dibuat selepas semua pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin oleh jurubahasa di hadapan Majistret Mahyun Yusof.

Berdasarkan semua pertuduhan, dia didakwa dengan curangnya menolong menyembunyikan wang RM5,000 sehingga RM20,000 yang dimasukkan penama sama ke dalam akaun Hong Leong Bank didaftarkan atas namanya dengan sebab untuk mempercayai bahawa ia bukanlah hak milik tertuduh.

Semua kesalahan itu dilakukan di lokasi sama pada 15 Mac hingga 15 Mei 2018.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mas Syafiqah Mahroob.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 23 Januari ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Berita Harian X