Selasa, 7 Januari 2020 | 7:39pm
Najib hadir pada prosiding bela diri terhadap tuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana RM42 juta SRC International di Mahkamah Kuala Lumpur. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Siapa yang sanggup palsukan tandatangan Najib?

KUALA LUMPUR: Pendakwaan hari ini menimbulkan persoalan berhubung pihak mana yang sanggup memalsukan tandatangan Datuk Seri Najib Razak seperti yang dinyatakan bekas Perdana Menteri itu.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V Sithambaram, yang menyoal balas Najib pada prosiding bela diri kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana SRC International Sdn Bhd, membangkitkan persoalan itu kepada Najib yang ketika itu individu yang memegang kuasa selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

Najib sebelum itu memberitahu Mahkamah Tinggi, bahawa dokumen Minit Mesyuarat SRC International berkaitan pinjaman dana RM4 bilion syarikat itu daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) yang mengandungi tandatangannya, dipalsukan.

Sithambaram: Selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan iaitu orang paling berkuasa, siapa sanggup palsukan tandatangan kamu?

Najib: Ini bukan soalan yang adil

Sithambaram: Soalan ini adil ... ia sangat mudah. Kamu individu yang memegang kuasa dan SRC adalah syarikat berkaitan kerajaan di bawah Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MKD), malah kamu sentiasa menyatakan tandatangan kamu dipalsukan. Siapa mampu berbuat demikan?

Najib: Datuk Suboh (bekas Pengarah SRC International, Datuk Suboh Md Yassin) juga pernah mendakwa begitu.

Sithambaram: Itu bukan soalannya... Saya tanya kamu yang mendakwa tandatangan kamu dimanipulasi dan dipalsukan. Saya mahu tahu siapa yang bertanggungjawab melakukannya. Ini adalah GLC (sambil meninggikan suara)

Najib: Saya tidak tahu

Sithambaram: Sekarang kamu menyatakan Ahli Lembaga Pengarah bertindak melalui dokumen dipalsukan itu?

Najib: Ya

Sithambaram kemudian mencadangkan bahawa Najib tidak meminta dokumen asal selepas ditunjukkan dengan salinan dokumen berkenaan kerana mengetahui ia sebenarnya adalah tandatangan beliau (Najib).

Najib bagaimanapun tidak bersetuju dengan cadangan Timbalan Pendakwa Raya itu.

Dalam keterangan semalam, Najib berkata beliau sangsi dengan ketulinan tandatangannya apabila banyak penipuan didedahkan pada perbicaraan kes SRC yang dihadapinya.

Perkara itu timbul selepas Sithambaram mempersoalkan percanggahan di antara kenyataan beliau kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pernyataan saksinya di mahkamah.

Najib menegaskan bahawa apa yang ditunjukkan kepadanya oleh pegawai SPRM hanya dokumen salinan.

Berita Harian X