Isnin, 6 Januari 2020 | 9:09pm

Bekas tentera ditahan kerana samun

TAMPIN: Seorang bekas tentera berusia 50-an diberkas selepas dipercayai terbabit melakukan samun ke atas seorang wanita yang sarat mengandung di sebuah premis pajak gadai di Gemencheh, di sini, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Ramli Kasa, berkata lelaki berkenaan ditahan oleh pasukan khas membabitkan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin, Balai Polis Gemas dan Gemencheh di Gemas semalam, hasil maklumat dan risikan.

“Pada hari kejadian, wanita itu disamun ketika berada di bahagian kaunter di mana suspek juga berada di dalam premis berkenaan untuk memajak sebentuk cincin.

“Secara tiba-tiba suspek bertindak menarik beg silang yang dipakai mangsa sambil mengacukan sebilah pisau ke arahnya. Pengadu yang berada dalam keadaan terancam menyerahkan beg miliknya kepada suspek.

“Suspek bagaimanapun ditahan dua hari kemudian di hadapan sebuah kedai makan, ketika disyaki ingin membeli dadah daripada seorang lelaki yang turut kita tahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ramli berkata, siasatan awal mendapati suspek mengaku kembali aktif melakukan samun dan curi sejak Mei lalu selepas selesai menjalani hukuman penjara 15 tahun bagi kesalahan samun di kawasan Kuala Pilah.

“Semakan juga mendapati suspek mempunyai 15 rekod lampau pelbagai kesalahan jenayah termasuk dua kesalahan narkotik sejak 1993 hingga kini. Suspek juga adalah bekas anggota tentera yang berhenti berkhidmat.

“Ujian saringan air kencing ke atas suspek mendapati dia positif morfin dan suspek direman enam hari bermula hari ini hingga 11 Januari ini,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Sementara itu, Ramli berkata bagi lelaki yang ditahan bersama suspek, pemeriksaan yang dijalankan ke atasnya menemui 21 paket plastik lut sinar disyaki dadah heroin seberat 28.40 gram bernilai RM500 yang disembunyikan dalam poket seluar dan beg silang.

“Suspek yang berusia 50 tahun ini disyaki menjadi tokan dadah. Hasil siasatan mendapati suspek mengaku mendapat bekalan dadah di kawasan Krubong, Melaka dan bekalan berkenaan mampu menampung untuk kegunaan seramai kira-kira 30 penagih.

“Aktiviti pengedaran dadah dilakukan oleh suspek di sekitar kawasan Felda Sungai Kelamah dan juga Felda Bukit Jalor dan suspek dipercayai telah terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah lebih kurang satu bulan dan tidak terbabit dengan aktiviti samun,” katanya.

Beliau berkata selain merampas dadah, polis turut menyita sebuah motosikal Yamaha LC 135 yang bernilai RM6,000, yang digunakan suspek.

Suspek yang bekerja sebagai penoreh getah dan mempunyai 13 rekod jenayah lampau kini direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 12 Jan dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B ADB 1952. - BERNAMA

Berita Harian X