Sabtu, 4 Januari 2020 | 6:05pm
ROHAYA Safie menunjukkan gambar Nor Haslinda Mohamad Zawavi ketika ditemui di rumahnya di Bachok, hari ini. - Foto Syamsi Suhaimi
ROHAYA Safie menunjukkan gambar Nor Haslinda Mohamad Zawavi ketika ditemui di rumahnya di Bachok, hari ini. - Foto Syamsi Suhaimi

Pesan jaga ikan hiasan sebelum pergi selama-lamanya

BACHOK: “Mahu ikan perhiasan peliharaan dijaga dengan baik menjadi pesanan terakhir anak sebelum ditemui lemas,” kata Rohaya Safie.

Rohaya, 41, adalah ibu kepada Nor Haslinda Mohamad Zawavi, 12, yang ditemui lemas bersama sepupunya, Mohamad Aiman Farhan Zunaidi, 14, di kolam ikan terbiar di Kampung Seneng, Jelawat dekat Bachok, jam 2.30 petang semalam.

Rohaya berkata, pesanan mengenai ikan hiasan peliharaan anaknya itu dimaklumkan kepada kakaknya, Suhaila, 16, sebelum ditemui lemas selepas menangkap udang dan ikan di kolam terbiar.

Katanya, anak kedua daripada tiga beradik itu sangat rapat dengan sepupunya yang dipanggil Aiman dan sering ke kolam ikan yang terletak 50 meter dari rumahnya untuk menangkap udang serta ikan.

“Sebelum kejadian, mereka ke kolam itu untuk menangkap udang dan membawa pulang hasil pada jam 12 tengah hari. Namun, mereka sekali lagi ke kolam itu pada jam 1 tengah hari memandangkan hasil pertama diperoleh sedikit.

“Ketika itu, saya sedang memasak, manakala suami ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat. Anak bongsu, Nur Aisyah Sofia, 6, turut ke kolam itu untuk melihat kakak dan sepupunya,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, hari ini.

Rohaya berkata, tidak lama kemudian, anak bongsunya pulang ke rumah pada jam 1.30 tengah hari memaklumkan kakak dan sepupunya sudah berada dalam air serta hanya selipar mereka yang ada di darat.

“Terkejut mendengarnya, suami dan orang kampung pergi ke kolam untuk mencari anak sebelum menemui mereka di dalam kolam.

“Saya tidak sangka anak pergi meninggalkan kami kerana lemas memandangkan dia kerap ke kawasan itu. Saya reda dengan kejadian ini kerana sudah takdir Ilahi,” katanya.

Katanya, sebelum kejadian, arwah anaknya suka bergurau dan gembira dalam sebelum pergi buat selama-lamanya.

“Jenazah anak selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Seneng pada jam 1 pagi tadi, manakala Mohamad Aiman Farhan dikebumikan di Tanah Merah,” katanya.

Berita Harian X