Jumaat, 3 Januari 2020 | 4:06pm
Mangsa yang cedera dalam pergaduhan membabitkan dua kumpulan lelaki di sebuah gelanggang bola keranjang di Seri Kembangan, Serdang, berpunca daripada berebut wanita, kelmarin.
Mangsa yang cedera dalam pergaduhan membabitkan dua kumpulan lelaki di sebuah gelanggang bola keranjang di Seri Kembangan, Serdang, berpunca daripada berebut wanita, kelmarin.

Gaduh gara-gara berebut teman wanita

KUALA LUMPUR: Berebut teman wanita dipercayai menjadi punca pergaduhan membabitkan dua kumpulan remaja dalam kejadian di sebuah gelanggang bola keranjang di Seri Kembangan dekat sini, malam kelmarin.

Pergaduhan dikatakan bermula pada jam 10.30 malam apabila sekumpulan remaja lelaki yang sedang bermain bola keranjang di situ, diserang sekumpulan 10 hingga 15 remaja lain.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan, berkata akibat pergaduhan itu, beberapa remaja terbabit mengalami kecederaan selain beberapa barangan milik remaja yang diserang turut hilang.

“Siasatan mendapati kedua-dua kumpulan remaja ini kenal antara satu sama dan punca pergaduhan ini adalah berebut teman wanita.

“Kita menolak wujud unsur kumpulan samseng atau perkauman dalam kejadian ini, justeru kita mohon semua pihak bertenang dan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang bercanggah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kata beliau lagi, siasatan pantas polis membawa kepada penahanan enam remaja berusia antara 16 hingga 20 tahun yang terbabit dengan pergaduhan berkenaan.

“Kita turut menemui semula beberapa barangan yang dilaporkan hilang dalam kejadian itu dan buat masa ini siasatan masih diteruskan.

“Kesemua mereka akan dibawa ke Mahkamah Petaling Jaya untuk proses reman. Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh,” katanya.

Berita Harian X