X
Khamis, 2 Januari 2020 | 9:36am

Tapak pelupusan sampah haram Kampung Bukit Kapar terbakar

SHAH ALAM: Ketibaan tahun baharu 2020 bukan hanya dimeriahkan dengan percikan pertunjukan bunga api sebaliknya turut dicemari dengan kejadian kebakaran di sebuah tapak pelupusan sampah haram di Kampung Bukit Kapar di sini.

Kejadian yang dipercayai berlaku kira-kira dua jam selepas detik 12 tengah malam itu, berlaku di tapak berkeluasan 1.21 hektar, membabitkan beberapa kawasan.

Difahamkan, lokasi berkenaan dijadikan tapak pelupusan oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk melupuskan sampah domestik dan industri serta berada di kawasan penanaman kelapa sawit.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 2.11 pagi semalam sebelum bergegas ke tapak pelupusan sampah haram di Jalan Kuari off Jalan Iskandar Kampung Bukit Kapar itu.

Katanya, seramai 26 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapar, Sungai Pinang dan Pelabuhan Klang, dengan diketuai Komander Operasi, Samsol Maarif Saibani, bertungkus-lumus memadamkan kebakaran berkenaan.

Beliau berkata, pasukan bomba turut mendapat kerjasama Skuad Pantas Majlis Perbandaran Klang (MPK) iaitu seramai empat anggota dan tiga anggota Unit Pengurusan Bencana Negeri (UPBN).

“Pemadaman terbahagi kepada dua sektor dengan Sektor A sudah dipadamkan sepenuhnya manakala Sektor B yang berkeluasan dianggarkan 1,500 meter persegi sudah dipadamkan sehingga 40 peratus setakat jam 7 malam tadi.

“Kerja-kerja pemadaman di tapak pembuangan sampah haram itu menggunakan pam angkut dan pam jentera dua aliran lima pancutan dari air terbuka iaitu lembah takungan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, tugas pemadaman ditangguhkan pada jam 6 petang semalam dan disambung pagi ini.

Anggota bomba bertungkus lumus memadamkan kebakaran di tapak pelupusan sampah haram di Kampung Bukit Kapar. - Ihsan JBPM Selangor
Anggota bomba bertungkus lumus memadamkan kebakaran di tapak pelupusan sampah haram di Kampung Bukit Kapar. - Ihsan JBPM Selangor
Kebakaran di sebuah tapak pelupusan sampah haram di Kampung Bukit Kapar. - Ihsan JBPM Selangor
Kebakaran di sebuah tapak pelupusan sampah haram di Kampung Bukit Kapar. - Ihsan JBPM Selangor
Berita Harian X