Sabtu, 28 Disember 2019 | 10:36am
JABATAN Perhutanan Perak menahan seorang lelaki yang disyaki menceroboh dan mengambil kayu jaras bakau secara haram di Kompartmen 50, Hutan Simpan Sungai Imau, Taiping. - Foto Ihsan Jabatan Perhutanan
JABATAN Perhutanan Perak menahan seorang lelaki yang disyaki menceroboh dan mengambil kayu jaras bakau secara haram di Kompartmen 50, Hutan Simpan Sungai Imau, Taiping. - Foto Ihsan Jabatan Perhutanan

Lelaki ceroboh, ambil hasil hutan secara haram ditahan

IPOH: Jabatan Perhutanan Perak menahan seorang lelaki yang disyaki menceroboh dan mengambil kayu jaras bakau secara haram di Kompartmen 50, Hutan Simpan Sungai Limau, dekat Taiping, semalam.

Menurut kenyataan dikeluarkan jabatan berkenaan hari ini, lelaki terbabit dipercayai sudah mengambil hasil hutan iaitu kayu jaras bakau secara haram membabitkan kawasan seluas kira-kira satu hektar.

Menurutnya, maklumat diterima jabatan berhubung pencerobohan berkenaan semalam.

“Sehubungan itu, satu pasukan semakan dari Pejabat Renjer Hutan Trong telah menjalankan kerja semakan dan risikan di kawasan yang disyaki berlaku aktiviti pencerobohan berkenaan.

“Hasil dari risikan dan maklumat yang diperoleh, pasukan menahan seorang suspek lelaki dan pasukan serbuan juga menemui satu sampan panjang berserta enjin bot jenama Yamaha Enduro 30HP, satu bot tongkang dengan nombor pendaftaran ATA00737K dan kayu jaras sebanyak 400 batang yang semuanya telah disita untuk tindakan lanjutnya,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, satu laporan dibuat di Balai Polis Trong dan suspek berkenaan sudah dilepaskan dengan jaminan polis dan siasatan lanjut akan dijalankan oleh Unit Siasatan Seksyen Operasi dan Penguatkuasaan Hutan, Jabatan Perhutanan Perak.

Suspek boleh didakwa mengikut Seksyen 15, Akta Perhutanan Negara 1984 yang sabit kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM500,000 dan dipenjara maksimum 20 tahun.

Berita Harian X