Selasa, 24 Disember 2019 | 7:00am

Lelaki disyaki cabul kanak-kanak perempuan di tandas surau serah diri

SUNGAI PETANI: Lelaki disyaki mencabul seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun di tandas Surau Al-Ikhlas Zon Mawar, di sini, 13 Disember lalu, menyerah diri kepada pihak berkuasa, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintendan Shamsudin Mamat, berkata suspek berusia 31 tahun yang bekerja sebagai kelindan lori, tampil di Balai Polis Bedong kira-kira jam 3 petang.

“Suspek menyerah diri dan mengaku melakukan jenayah cabul terhadap kanak-kanak perempuan berkenaan.

“Sebelum ini, polis melakukan dua serbuan ke atas rumah suspek di Bedong tetapi lelaki itu tiada di rumah dipercayai melarikan diri sejak video perlakuannya tersebar,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, pihaknya turut merampas sehelai baju berwarna biru gelap tertera ‘Keluarga’ dipercayai dipakai suspek ketika kejadian.

Susulan itu, katanya, suspek akan direman di Mahkamah Majistret Sungai Petani, pagi ini.

Kejadian kira-kira jam 6.30 petang berlaku ketika mangsa sedang bermain bersama sepupunya di taman permainan bersebelahan surau terbabit.

Suspek kemudian didakwa memanggil mangsa kononnya untuk melihat sesuatu di dalam tandas surau sebelum memeluk dan mencabul kanak-kanak itu.

Rrakaman kamera litar tertutup (CCTV) seorang lelaki mencabul kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun di tandas Surau Al Ikhlas Zon Mawar pada 13 Disember lalu. - Foto ihsan Pembaca
Rrakaman kamera litar tertutup (CCTV) seorang lelaki mencabul kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun di tandas Surau Al Ikhlas Zon Mawar pada 13 Disember lalu. - Foto ihsan Pembaca

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X