Ahad, 22 Disember 2019 | 6:28pm
Keratan berita kemalangan jalan raya di Kaikoura, New Zealand pada 6 Disember lalu.
Keratan berita kemalangan jalan raya di Kaikoura, New Zealand pada 6 Disember lalu.

Nur Arifah tidak mahu 'berjauhan' dengan ibunya

KOTA KINABALU: Anak bongsu yang terselamat dalam kemalangan jalan raya di Kaikoura, New Zealand yang mengorbankan empat ahli keluarganya pada 6 Disember lalu, tidak mahu kembali ke Malaysia kerana berjauhan dengan ‘ahli keluarganya’ yang ditinggalkan beribu batu.

Perkara itu dikongsikan Othman Abd Hamid yang selamat tiba bersama Nur Arifah Bahiyah, 11, di Sabah hari ini selepas berada di negara itu kira-kira dua minggu bagi menguruskan jenazah dan pengebumian adik bongsunya iaitu arwah Dr Rumihati Abd Hamid, 49, yang terkorban bersama suaminya, Adanan Jemain, 49, serta dua anak mereka, Nur Irfan, 15 dan Maisarah Arifah, 13.

“Sebelum bertolak ke Malaysia, dia (Nur Arifah) tidak mahu pulang sebab tidak mahu berjauhan dengan mamanya,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), di sini hari ini.

Othman berkata, sebelum kembali ke Malaysia, Nur Arifah sempat menziarahi pusara ahli keluarganya yang dikebumikan berhampiran Memorial Christchurch, New Zealand, lokasi berlakunya tragedi berdarah Christchurch pada Mac lepas.

Beliau berkata, keadaan Nur Arifah kini beransur pulih bagaimanapun atas nasihat doktor di Wellington Hospital, dia perlu menjalani rawatan susulan berikutan mengalami kecederaan di kaki kanannya.

“Keadaan dia kini masih trauma, tetapi dia (Nur Arifah) ada memberitahu ketika kejadian dia duduk di tengah-tengah. Ada juga doktor memaklumkan ketika kejadian, Nur Arifah berada dalam keadaan sedar sebelum pengsan dan dibawa ke hospital.

“Situasi paling sukar ketika berada di sana ialah apabila dia tersedar dan bertanyakan di mana mamanya, adakah masih hidup. Kami susah untuk berterus terang dan memang ambil masa untuk menjelaskan hal sebenar,” katanya.

Sementara itu, Othman menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang banyak membantu menguruskan pengebumian jenazah ahli keluarganya itu khususnya Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Zealand dan juga kerajaan negeri Sabah.

Beliau juga turut terharu apabila masyarakat di negara itu juga tanpa mengira agama juga turut bersama-sama menghadiri pengebumian itu. – BERNAMA

Berita Harian X