Ahad, 22 Disember 2019 | 2:14pm
LEMBAGA Urus Air Selangor (LUAS).
LEMBAGA Urus Air Selangor (LUAS).

Limpahan minyak kehitaman dikesan pada pembetung - LUAS

SHAH ALAM: Limpahan minyak kehitaman dikesan pada salah satu pembetung dalam jaringan sistem pembetungan di Bandar Bukit Mahkota, hasil siasatan susulan pencemaran air Sungai Semenyih yang menyebabkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi terpaksa dihenti tugas.

Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) memaklumkan, selepas mengesan pencemaran berpunca daripada Loji Rawatan Kumbahan (LRK) Indah Water Konsortium (IWK) Bukit Mahkota, pihak berkenaan menghentikan pelepasan air dan melaksanakan rawatan menggunakan Hidrogen Peroksida Kristal (CHP) pada jam 1 tengah hari semalam.

Katanya, selepas mengesan pencemaran di satu daripada pembetung di Bandar Bukit Mahkota pula, kerja pembersihan dijalankan.

“Kerja pembersihan dan penyedutan bahan yang disyaki sisa bahan terjadual itu mula dilakukan pada jam 4 petang oleh pihak IWK menggunakan dua lori tangki berkapasiti lima meter padu.

“Menteri Besar Selangor (Datuk Seri Amirudin Shari) juga mengarahkan intervensi segera pihak IWK untuk meneruskan kerja pembersihan serta penyedutan sisa itu supaya implikasi pencemaran dapat dikurangkan dan bekalan air terawat disalur semula dengan segera.

“LUAS juga menyediakan ‘activated carbon’ dalam keadaan siap siaga jika diperlukan di takat pelepasan akhir LRK ke sungai,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, pemantauan dan pensampelan dijalankan di Sungai Beranang dan sekitar Persiaran Mahkota 2.

Katanya, setakat jam 12.30 tengah malam tadi, bau sebanyak 3 ton masih dikesan di Sungai Beranang, manakala bau sebanyak 2 ton masih dikesan di muka sauk loji di Jenderam Hilir.

Katanya, LUAS dan semua pihak terbabit sedang berusaha menangani insiden berkenaan dengan segera serta mengenal pasti dalang kejadian itu.

Berita Harian X