Ahad, 22 Disember 2019 | 1:36pm
SURUHANJAYA Perkhidmatan Air Negara (SPAN).
SURUHANJAYA Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Pembuangan sisa haram punca air tercemar - SPAN

KUALA LUMPUR: Pembuangan sisa secara haram ke dalam lurang (lubang periksa) kumbahan Indah Water Konsortium (IWK) oleh pihak tidak bertanggungjawab, dikenal pasti menjadi punca pencemaran bau pada sumber bekalan air ke Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih.

Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dalam satu kenyataan, hari ini, berkata tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang melakukan perbuatan sangat tidak boleh diterima itu.

“Pelaku yang akan dikenal pasti kelak bakal diambil tindakan tegas berdasarkan Akta Industri Perkhidmatan Air (Akta 655),” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, selepas siasatan selesai, kes berkenaan akan dihantar kepada pihak pendakwa raya untuk tindakan lanjut.

LRA Sungai Semenyih terpaksa dihenti tugas, semalam, bagi mengelakkan air terawat yang disalurkan kepada pengguna, terjejas.

Ia menyebabkan gangguan kepada lebih 1.5 juta pengguna di sebahagian kawasan Hulu Langat, Sepang, Putrajaya, Petaling Jaya dan Kuala Langat.

Menurut kenyataan itu lagi, SPAN dan semua pihak berkaitan, termasuk Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Jabatan Alam Sekitar (JAS), pihak pengurusan Air Selangor serta IWK sedang berusaha mengatasi masalah supaya LRA Sungai Semenyih boleh beroperasi semula dalam waktu terdekat.

SPAN juga akan mengadakan perbincangan dengan pihak terbabit, esok, untuk mencari kaedah terbaik bagi pencegahan awal dalam mengawal pembuangan haram yang boleh menyebabkan penutupan LRA pada masa depan. – BERNAMA

Berita Harian X