Sabtu, 21 Disember 2019 | 10:44am

Rugi RM65,619 diperdaya pegawai LHDN `palsu'

KUANTAN: Seorang wanita menanggung kerugian RM65,619 selepas diperdayakan sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata kejadian bermula apabila mangsa berusia 43 tahun menerima panggilan telefon daripada suspek yang memperkenalkan diri sebagai pegawai LHDN Alor Setar.

“Suspek mendakwa mangsa mempunyai cukai yang tidak berbayar sebanyak RM17,600.76 iaitu tunggakan selama 15 bulan.

“Kemudiannya, lelaki berkenaan meminta mangsa membuat bayaran tunggakan itu. Suspek kemudian meminta maklumat kad bank milik mangsa,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini hari ini.

Beliau berkata, mangsa tanpa usul periksa kemudian menyerahkan butiran peribadi dua kad ATM miliknya kepada suspek.

“Tidak lama kemudian, mangsa menerima beberapa nombor TAC sebelum memberikan kepada suspek secara berperingkat.

“Semalam, mangsa menerima panggilan dari pihak bank menyatakan dia ada membuat transaksi sebanyak RM4,9647.87 dan RM1,5971.25 dari akaunnya ke dalam akaun bank tidak dikenali,” katanya.

Katanya, mangsa hanya menyedari dirinya ditipu selepas suspek masih lagi meminta wang sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan semalam.

“Modus operandi sindiket ini adalah memperdayakan mangsa dengan menyamar sebagai pegawai LHDN sehingga mendorong wanita itu membuat bayaran dan mengalami kerugian.

“Kes sedang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebat dan denda jika sabit kesalahan,” katanya.

Berita Harian X