Khamis, 19 Disember 2019 | 1:53pm
FOTO hiasan.
FOTO hiasan.

850 polis kawal 'hotspot'

KUCHING: Seramai 850 anggota polis akan ditugaskan di 56 kawasan ‘hotspot’ kemalangan jalan raya sempena Operasi (Op) Selamat perayaan Krismas di Sarawak.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Ramli Din, berkata anggota keselamatan berkenaan ditugaskan di lokasi bermula kelmarin dan akan kekal mengawasi tempat itu sehingga 1 Januari tahun depan.

Beliau berkata, usaha itu diambil untuk memastikan serta mengurangkan jumlah kemalangan jalan raya yang berlaku setiap kali musim perayaan.

“Pengguna jalan raya dinasihatkan mematuhi undang-undang jalan raya serta arahan pegawai polis yang ditugaskan di lokasi itu,” katanya selepas Program Hari Bersama Pelanggan dan Pelancaran Op Selamat Hari Krismas 2019 di sini.

Ramli berkata, antara kesalahan yang kerap dilakukan ialah memotong di garisan berkembar, berjalan ketika lampu isyarat merah dan menggunakan telefon bimbit ketika memandu.

“Semua pemandu wajar untuk mengelak melakukan kesalahan itu kerana ia akan membahayakan diri sendiri serta pengguna jalan raya lain,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kadar jenayah di Sarawak secara keseluruhannya tahun ini masih rendah.

“Polis berjaya menyelesaikan 65.2 peratus daripada semua kes yang dilaporkan.

“Antara kes yang mencatatkan penurunan ialah kecurian motosikal, iaitu 1,314 kes tahun ini berbanding 1,605 kes tahun lalu,” katanya.

Berita Harian X