Selasa, 17 Disember 2019 | 4:38pm
Borhan (tiga dari kiri) dan Shamsun Baharin (empat dari kiri) ketika melancarkan Pelan Anti Rasuah Majlis Perbandaran Taiping 2020-2024. - NSTP/Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
Borhan (tiga dari kiri) dan Shamsun Baharin (empat dari kiri) ketika melancarkan Pelan Anti Rasuah Majlis Perbandaran Taiping 2020-2024. - NSTP/Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

SPRM terima 1,871 maklumat babitkan PBT sejak 2014

TAIPING: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerima 1,871 maklumat berhubung dakwaan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa membabitkan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi tempoh 2014 hingga 12 Disember lalu.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Shamshun Baharin Mohd Jamil, berkata susulan itu, sebanyak 126 kertas siasatan sudah dibuka dengan tangkapan 73 individu yang kebanyakannya membabitkan kesalahan tuntutan palsu, salah guna kuasa dan penyelewengan.

Mengikut statistik secara keseluruhan, katanya, SPRM menahan seramai 2,740 individu berumur 40 tahun ke bawah daripada 5,186 tangkapan yang dibuat sejak 2014 hingga bulan lalu.

Beliau berkata, daripada keseluruhan 5,186 yang ditahan itu, seramai 2,428 atau 46.8 peratus adalah penjawat awam.

“Tidak dapat dinafikan, kes berkenaan rasuah memang berlaku dalam kalangan penjawat awam. Selaras perkembangan itu, fokus kita ialah membantu agensi berkenaan menangani masalah ini.

“Bagi mengatasi masalah ini, SPRM memerlukan komitmen termasuk daripada PBT, dalam usaha mentransformasikan agensi menjadi organisasi berintegriti tinggi dan bebas rasuah melalui rujukan lengkap bagi semua warga organisasi tanpa mengira pangkat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Pelan Antirasuah Majlis Perbandaran Taiping 2020-2024 di Wisma Perbandaran Taiping, di sini, hari ini.

Hadir sama, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping (MPT), Borhan Abdul Halim, serta Pegawai Daerah Larut Matang dan Selama, Mohamed Akmal Dahalan.

Majlis itu turut menyaksikan MPT muncul yang pertama dalam kalangan 149 PBT di Malaysia, membangunkan Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) tersendiri dalam usaha memerangi gejala rasuah secara komprehensif.

Shamshun Baharin berkata, tindakan itu bukan saja mencerminkan komitmen dan sokongan warga MPT dalam memerangi rasuah, malah secara tidak langsung menjadi pembakar semangat SPRM untuk terus memerangi rasuah serta salah guna kuasa secara habis-habisan.

Sementara itu, Borhan dalam ucapannya pula berkata, melalui pelan berkenaan, tumpuan diberi terhadap empat bidang keutamaan yang dikenal pasti berpotensi cenderung kepada amalan rasuah, iaitu penguatkuasaan undang-undang, perolehan awam, tadbir urus terbaik organisasi, dan perundangan.

“Pelan ini terhasil daripada beberapa siri perbincangan dan bengkel pembangunan dijalankan bersama pegawai MPT yang mendapat bimbingan, nasihat serta pemurnian daripada Institut Integriti Malaysia (INTEGRITI) sebelum ia dibentangkan kepada Pusat Governans, Integriti, dan Antirasuah Nasional (GIACC) serta INTEGRITI.

“Ia sekali gus memperlihatkan komitmen seluruh warga kerja MPT dalam memerangi rasuah, selain bertindak sebagai peringatan dan amaran kepada semua bahawa MPT tidak menerima rasuah yang disifatkan sebagai amalan keji serta menjijikkan,” katanya.

Berita Harian X