Selasa, 17 Disember 2019 | 4:34pm
Muhd Danis ditemui lemas selepas tergelincir ke dalam parit di Kampung Parit Haji Dol Salam, Sungai Linau, Renggam. - Ihsan Bomba
Muhd Danis ditemui lemas selepas tergelincir ke dalam parit di Kampung Parit Haji Dol Salam, Sungai Linau, Renggam. - Ihsan Bomba

Ajal main air depan rumah

KLUANG: Seorang remaja berusia 16 tahun menjadi mangsa korban banjir pertama di Johor setelah tergelincir ke dalam parit di depan rumahnya di Kampung Parit Haji Dol Salam, Sungai Linau, Simpang Renggam dekat sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 2 petang itu, Muhd Danis Irfan, yang dipercayai bermain air banjir, tergelincir ke dalam parit sedalam 4.26 meter.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Renggam, Penolong Penguasa Bomba Asyraf Nur Mohd Yusof, dalam satu kenyataan memaklumkan, sebuah jentera bomba serta sebuah pacuan roda bersama sembilan anggota dikejarkan ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan.

Lokasi mangsa ditemui lemas. - Ihsan Bomba
Lokasi mangsa ditemui lemas. - Ihsan Bomba

Ketika pasukan itu tiba, mayat mangsa sudah ditemui penduduk kampung.

“Kami menerima panggilan kecemasan memaklumkan seorang remaja dipercayai lemas ketika sedang bermain air di halaman rumahnya. Selepas 10 minit orang ramai gagal menemui mangsa, mereka membuat panggilan kecemasan.

“Bagaimanapun, mangsa ditemui dan dinaikkan oleh penduduk menggunakan jala ikan,” katanya.

Berita Harian X