Selasa, 17 Disember 2019 | 3:18pm
Muhammed Yusoff Rawther, ditemani peguam, Datuk Mohamed Haniff Khatri Abdulla, tiba di Bukit Aman jam 2.50 petang, bagi menjalani ujian poligraf untuk membantu siasatan kes dakwaan perlakuan tidak senonoh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, terhadapnya.

Muhammed Yusoff tiba di Bukit Aman jalani ujian poligraf

KUALA LUMPUR: Bekas penyelidik PKR, Muhammed Yusoff Rawther tiba di Bukit Aman pada jam 2.50 petang ini bagi menjalani ujian poligraf bagi membantu siasatan kes dakwaan perlakuan tidak senonoh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadapnya.

Muhammed Yusoff yang dilihat berbaju merah lengan pendek dan berseluar denim biru ditemani peguam, Datuk Mohamed Haniff Khatri Abdulla menaiki kereta jenis Mercedes berwarna hitam.

Semalam, media melaporkan bagi membolehkan polis menjalankan siasatan dengan adil dan telus, Muhammed Yusoff sedia menjalani ujian poligraf dalam kes berkenaan.

Mohamed Haniff dipetik berkata, anak guamnya itu sedia pada bila-bila masa dan hanya menunggu arahan polis untuk berbuat demikian.

Sebelum ini, media melaporkan ujian poligraf antara pilihan yang akan dipertimbangkan pegawai penyiasat polis dalam siasatan kes dakwaan Muhammed Yusoff terhadap Anwar.

Pada 9 Disember lalu, Muhammed Yusoff ditemani peguamnya hadir memberi keterangan di Bukit Aman selama lebih tujuh jam susulan akuan bersumpahnya.

Keesokan harinya, bekas penyelidik di pejabat PKR itu hadir kali kedua untuk memberi keterangan kepada Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) yang mengendalikan kes itu.

Anwar pula hadir ke Bukit Aman pada Khamis lalu bagi memberikan keterangan.

Berita Harian X