Isnin, 16 Disember 2019 | 4:43pm
SAKSI, Penguasa Kanan Bomba Ibu Pejabat Bomba dan Penyelamat Malaysia, Rosdiyana Sudarto hadir perbicaraan kes kematian Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn Bhd, Nazrin Hassan di Kompleks Mahkamah Shah Alam. NSTP/Faiz Anuar
SAKSI, Penguasa Kanan Bomba Ibu Pejabat Bomba dan Penyelamat Malaysia, Rosdiyana Sudarto hadir perbicaraan kes kematian Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn Bhd, Nazrin Hassan di Kompleks Mahkamah Shah Alam. NSTP/Faiz Anuar

Imej X-Ray telefon bimbit asli - saksi

SHAH ALAM: Seorang saksi kes pembunuhan Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Sdn Bhd, Nazrin Hassan, mengesahkan imej x-ray telefon bimbit yang diambilnya tidak boleh diubah suai.

Saksi ke-16 pendakwaan, Pengusaha Kanan Bomba II Rosdiyana Sudarto, berkata sehari selepas kejadian kebakaran di bilik utama rumah Nazrin, beliau diberikan satu telefon bimbit jenis Blackberry oleh Pegawai Bomba Abdul Halim Zulkefeli yang juga saksi pendakwaan ke-15 untuk dibuat pengimejan bagi mendapatkan struktur dalam alat elektronik terbabit.

Katanya, pengimejan telefon bimbit itu dilakukan dengan menggunakan mesin XRS-200 X-ray Sources.

“Saya meletakkan telefon bimbit itu di hadapan filem dan memancarkan x-ray dan seterusnya imej akan terhasil pada filem.

“Filem itu kemudian akan diimbas menggunakan mesin pengimbas dan imej x-ray telefon bimbit akan terhasil di komputer,” katanya ketika memberi keterangan di hadapan Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman, di sini, hari ini.

Rosdiyana yang ketika itu bertugas di Bahagian Penyiasatan Kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), berkata beliau juga ada membuat simpanan peribadi terhadap pengimejan telefon bimbit berkenaan di dalam komputer.

Dalam prosiding sama, saksi itu tidak bersetuju terhadap cadangan peguam bela ketiga-tiga tertuduh, S Suresh, bahawa pengimejan berkenaan sudah diubah suai oleh Abdul Halim.

“Sebab saya yang membantu Abdul Halim untuk mendapatkan imej jelas,” katanya.

Rosdiyana, 32, memberi keterangan terhadap isteri Nazrin, Samirah Nuzaffar, 44, yang juga bekas Eksekutif Kanan di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), serta dua remaja lelaki masing-masing berumur 17 dan 14 tahun, didakwa membunuh Nazrin.

Turut didakwa ialah seorang warga Indonesia, Eka Wahyu Lestari yang masih bebas.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di rumah di Mutiara Homes, Mutiara Damansara, Petaling Jaya antara 11.30 malam pada 13 Jun 2018 dan 4 pagi keesokannya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X