Isnin, 16 Disember 2019 | 3:46pm

Pelajar kerugian RM13,000 diperdayakan Macau Scam

KUANTAN: Seorang pelajar wanita di sini kerugian RM13,000 selepas diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai polis bernama ‘Datuk Nizam’, di sini semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata mangsa berusia 23 tahun itu pada mulanya menerima panggilan telefon daripada seorang wanita yang memperkenalkan diri sebagai ‘Sarjan Salina’.

“Mangsa diberitahu terbabit dengan penggubahan wang haram dan kad pengenalannya sudah disalahguna. Talian kemudian disambungkan kepada dua lagi suspek iaitu ‘Inspektor Mohd Zulkifli’ dan ‘Datuk Nizam’.

“Mangsa diminta untuk memberikan kerjasama jika tidak mahu ditahan dalam lokap dan akaun bank miliknya dibekukan,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini hari ini.

Beliau berkata, mangsa kemudian menyerahkan maklumat kad ATM, nombor pin kad ATM serta nombor kod keselamatan transaksi (TAC) kepada ‘Datuk Nizam’ bagi tujuan semakan.

“Kemudiannya, mangsa menerima panggilan dari pihak bank dan memaklumkan terdapat transaksi pindahan wang dalam jumlah yang banyak dari akaun bank miliknya.

“Mangsa membuat semakan ke atas akaun bank miliknya dan mendapati wang sebanyak RM13,000 sudah lesap. Dia kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini,” katanya.

Sementara itu, Mohd Wazir berkata, seorang kerani wanita berusia 37 tahun kerugian RM14,830 selepas ditipu sindiket pinjaman tidak wujud, bulan lalu.

“Mangsa kemudian berurusan dengan seorang lelaki untuk membuat pinjaman sebanyak RM25,000. Mangsa kemudian menghantar butiran slip gaji, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan kad pengenalan untuk urusan berkenaan.

“Mangsa dimaklumkan bahawa pinjaman lulus dan dikehendaki memasukkan wang. Mangsa kemudian memasukan wang secara berperingkat menjadikan jumlah keseluruhan berjumlah RM14,830,” katanya.

Mohd Wazir berkata, kedua-dia kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan penipuan.

Berita Harian X