Isnin, 16 Disember 2019 | 9:28am
Keadaan jalan yang dinaiki air banjir di Jalan Kota Tinggi ke Mersing. - Foto ihsan Bomba dan Penyelamat

Jumlah banjir di Johor berkurang

JOHOR BAHRU: Jumlah mangsa banjir di Johor berkurang kepada 9,151 orang, namun pusat pemindahan sementara (PPS) bertambah kepada 93, setakat jam 9 pagi ini.

Malam tadi, jumlah mangsa ialah seramai 9,403 orang dengan sebanyak 83 PPS dibuka.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Johor dalam kenyataannya memaklumkan, Segamat mencatatatkan pertambahan PPS ketara sehingga 23, Kluang pula kekal dengan jumlah PPS terbanyak iaitu 28, Kota Tinggi (18), Mersing (10), Johor Bahru (lima), Pontian (tiga), Batu Pahat (tiga), Kulai (dua), manakala Muar pula membuka sebuah PPS.

Mangsa banjir di Segamat seramai 1,350 orang daripada 358 keluarga dengan sungai di Bandar Segamat mencecah paras amaran.

Mangsa banjir di Kluang pula terus meningkat kepada 2,666 daripada 747 keluarga, berbanding seramai 2,611 orang daripada 733 keluarga, malam tadi.

Operasi menyelamat mangsa banjr yang dilakukan pasukan bomba dan penyelamat di Kota Tinggi selepas rumah mangsa dinaiki air banjir. - Foto ihsan Bomba dan Penyelamat

Sebanyak 19 PPS dibuka di Kota Tinggi dengan mangsa melonjak kepada 2,659 daripada 695 keluarga, berbanding jumlah 2,552 orang daripada 664 keluarga, malam tadi.

Mangsa banjir di Mersing pula meningkat kepada 1,303 orang daripada 365 keluarga, berbanding seramai 1,277 orang daripada 361 keluarga, malam tadi.

Di Johor Bahru, mangsa banjir naik kepada 766 daripada 201 keluarga, berbanding 743 daripada 199 keluarga, malam tadi.

Mangsa banjir di Pontian pula, melonjak kepada 184 orang daripada 45 keluarga, berbanding seramai 116 mangsa, malam tadi.

Di Batu Pahat, mangsa banjir juga bertambah kepada 74 daripada 18 keluarga, berbanding seramai 38 mangsa banjir daripada lapan keluarga, malam tadi.

Mangsa banjir Kulai juga menokok kepada 124 orang daripada 39 keluarga, berbanding seramai 113 mangsa banjir daripada 36 keluarga, malam tadi.

Pasukan Bomba dan penyelamat membawa peralatan bot untuk melakukan operasi menyelamat mangsa terkandas kerana laluan ke Mersing dinaiki air di Jalan Kota Tinggi ke Mersing. - Foto ihsan Bomba dan Penyelamat

Di Muar pula, mangsa banjir kekal seramai 25 mangsa daripada tujuh keluarga yang ditempatkan di Bangunan GW Maokil.

Tiga laluan utama di kawasan Kota Tinggi masih ditutup dengan empat laluan hanya boleh dilalui kenderaan berat sahaja, manakala satu laluan terjejas kerana tanah runtuh.

Tiga laluan utama di Kota Tinggi yang masih ditutup kepada semua jenis kenderaan kerana banjir, iaitu Jalan Ladang Pasir Logok-Ladang Bukit Kelompok dan Jalan Ladang Bukit Payung (Tenggaroh) di kawasan Kampung Tunjuk Laut, selain Jalan Kampung Mawai Lama di Kampung Mawai Lama, berikutan paras air yang dalam dan deras.

Empat lagi laluan terjejas banjir hanya boleh dilalui kenderaan berat iaitu Jalan Mawai-Bukit Samsu, Jalan Mawai-Sedili, Selekoh Batu 19 Jalan Utama dan Batu 17/ Batu 18, manakala Jalan Telok Arong terjejas tanah runtuh dengan hanya sehala laluan dibuka untuk kenderaam ringan.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X