Ahad, 15 Disember 2019 | 9:03pm
PENUMPANG sebuah bas melalui detik cemas apabila kenderaan itu terperangkap di laluan dinaiki air lebih 1 meter. Kejadian di Jalan Mersing-Kota Tinggi selepas Sungai Ara. - Ihsan Twitter Pandangan Rakyat Malaysia
PENUMPANG sebuah bas melalui detik cemas apabila kenderaan itu terperangkap di laluan dinaiki air lebih 1 meter. Kejadian di Jalan Mersing-Kota Tinggi selepas Sungai Ara. - Ihsan Twitter Pandangan Rakyat Malaysia

Bas dihanyut air banjir

KOTA TINGGI: Sebuah bas ekspres yang melalui Jalan Kota Tinggi-Mersing  berhampiran Batu 18, dihanyutkan air dalam kejadian awal pagi tadi.

Bagaimanapun, pemandu bas bersama kira-kira 15 penumpang berjaya menyelamatkan diri selepas bas ekspres berkenaan dipercayai tersangkut di bahu jalan selepas ditolak arus deras banjir.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, pemandu bas dipercayai tidak menyedari jalan berkenaan ditenggelami air berikutan keadaan yang masih gelap di samping hujan lebat.

Bagaimanapun, kenderaan itu kemudian dipercayai terperangkap di tengah laluan berikutan air deras sebelum ditolak sehingga ke bahu jalan dan tersangkut di situ.

Bahagian Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi ketika dihubungi, berkata cubaan untuk menarik bas ekspres berkenaan ke kawasan selamat masih gagal berikutan air deras dan sedalam 1.7 meter.

Beberapa gambar bas ekspres berkenaan yang tenggelam sehingga hampir ke bahagian bumbung itu tular di media sosial sejak tengah hari tadi.

Berita Harian X