Ahad, 15 Disember 2019 | 12:59pm
BEKAS penyelidik PKR, Muhammed Yusoff Rawther. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Kes Yusoff Rawther, polis akan panggil beberapa individu

KUAlA LUMPUR: Polis akan memanggil beberapa individu untuk dirakam keterangan di Bukit Aman dalam masa terdekat bagi membantu siasatan dakwaan perlakuan tidak senonoh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap bekas penyelidik PKR, Muhammed Yusoff Rawther.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid, berkata percakapan individu berkenaan penting bagi melengkapkan kertas siasatan sebelum diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara.

“Kita akan rekod keterangan seorang atau dua lagi individu bagi membantu siasatan kes membabitkan Anwar dan Muhammed Yusoff.

“Ketika ini, polis sedang giat menjalankan siasatan berhubung kes berkenaan,” katanya kepada BH, hari ini.

Khamis lalu, polis dilaporkan merekod keterangan Anwar selama sejam 30 minit bermula jam 3.45 petang di Bukit Aman, bagi membantu siasatan dakwaan kes berkenaan.

Rabu lalu, Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, dipetik berkata keterangan Anwar dan beberapa individu lain akan diambil bagi membantu siasatan dakwaan yang dibuat Muhammed Yusoff dalam satu akuan bersumpah.

Sebelum ini, Muhammed Yusoff dipanggil dua kali ke Bukit Aman bagi membolehkan polis melengkapkan siasatan.

Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman yang mengendalikan siasatan kes salah laku didakwa membabitkan Anwar itu, turut memanggil ahli keluarga Muhammed Yusoff.

Berita Harian X