Sabtu, 14 Disember 2019 | 3:57pm
PASANGAN pengantin, Izat Samsudin dan Siti Zaleha Satiman ketika disandingkan tanpa pelamin di kediaman keluarga yang dinaiki air banjir di Kampung Chokro, Simpang Renggam. NSTP/Adnan Ibrahim

Pengantin bersanding dalam banjir

SIMPANG RENGGAM: Pasangan pengantin di Kampung Chokro, dekat sini, terpaksa bersanding di ruang khemah yang dipenuhi air akibat banjir, jam 10 pagi tadi.

Lebih menyedihkan, Izat Samsudin, 28, dan Siti Zaleha Satiman, 27, bukan saja bersanding tanpa pelamin yang terpaksa dibuka lebih awal berikutan kediaman mereka dinaiki air sejak jam 3 pagi, malah hanya berpakaian biasa berbanding persalinan songket merah seperti dirancang.

Bapa kepada Izat, Yusuf Jaafar, 52, berkata beliau menyedari air mula naik di kawasan tempat memasak nasi dan lauk pauk pada jam 3 pagi tadi, hingga memaksa memindahkan tempat memasak ke kedudukan lebih tinggi namun tetap ditenggelami air setinggi 0.5 meter.

“Melihat keadaan air yang agak deras, kami terpaksa menghubungi pihak andaman untuk memastikan pelamin serta tempat makan beradab dibuka agar tidak dihanyutkan air.

“Bagaimanapun, saya bersyukur kerana semua jamuan siap dimasak oleh tukang masak sebelum waktu jamuan bermula jam 11 pagi tadi,” katanya.

Yusuf dan isterinya, Midah Simon, 50, berkata walaupun majlis berkenaan adalah untuk menyambut menantu namun agak sedih juga kerana hari bersejarah anak bongsu daripada dua beradik dilangsungkan dalam banjir.

Dalam pada itu, Izat dan Siti Zaleha akan menjadikan pengalaman ini sejarah terindah dalam hidup mereka sebagai suami isteri.

“Tidak semua orang akan dapat pengalaman seperti ini dan ia dianggap sebagai murah rezeki mengikut adat orang Jawa.

“Kami juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua tetamu yang hadir walaupun di dalam keadaan tempat makan ditenggelami air,” katanya.

Berita Harian X