Jumaat, 13 Disember 2019 | 3:37pm
PRESIDEN Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin (kiri) diiringi Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal (dua dari kiri) berucap selepas mempengerusikan mesyuarat bahagian Bersatu Pagoh di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Pagoh. NSTP/Adi Safri

Perhimpunan dikaitkan dengan PKM: KDN sahkan 6 pertubuhan tidak berdaftar

MUAR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengesahkan enam daripada sembilan pertubuhan disyaki terbabit dalam perhimpunan Majlis Peringatan Perjanjian Damai Hatyai di Kajang, Selangor, 1 Disember lalu, adalah pertubuhan tidak berdaftar.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata pertubuhan terbabit dikenal pasti tidak berdaftar oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

“Itu laporan yang saya terima (daripada ROS), bermakna mereka tidak berdaftar dan adalah pertubuhan haram. Hanya tiga yang berdaftar.

“Namun, itu soal berdaftar atau tidak berdaftar, yang paling penting kita hendak ambil kira ialah kenapa mereka terbabit dalam aktiviti dikatakan ada kaitan dengan Chin Peng atau komunis (majlis berkenaan).

“Adakah ia usaha hendak menunjukkan minat untuk membawa semula ideologi lama (komunis)... pihak polis dan perisikan kita sedang mengkaji serta meneliti dengan lebih mendalam lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Pagoh, di sini, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan ROS mengeluarkan notis terhadap tiga pertubuhan disyaki menghadiri majlis dikaitkan dengan Parti Komunis Malaya (PKM) itu, untuk hadir memberi keterangan.

ROS dalam satu kenyataan, hari ini, memaklumkan pihaknya menerima maklumat daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung sembilan pertubuhan disyaki menghadiri perhimpunan itu dan mendapati tiga daripadanya adalah pertubuhan berdaftar.

Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU dan Ahli Parlimen Pagoh berkata, tindakan tegas perlu diambil kerana PKM sudah lama diharamkan.

“Ideologi komunis tidak harus diwujudkan semula di Malaysia kerana kita ada sistem demokrasi berparlimen yang mana sejak 60 tahun lalu, berjalan dengan baik dan negara dalam keadaan aman.

“Kalau ada langkah agak terpesong sedikit daripada sasaran yang ada, kita tidak boleh memandang ringan. Kalau ada kegiatan seumpama ini, kita akan pantau,” katanya.

Ditanya sama ada nama pertubuhan terbabit perlu diumumkan bagi mengelak masyarakat menyertainya, beliau bersetuju dengan saranan itu.

“Patutnya begitu (senarai pertubuhan terbabit diumumkan). Mungkin yang berkenaan tidak sedar mereka terbabit kegiatan sebegitu.

“Kalau mereka datang daripada pertubuhan tidak berdaftar, mereka tidak boleh menjalankan apa-apa kegiatan pun. Itu melanggar undang-undang negara dan boleh dikenakan tindakan,” katanya.

Berita Harian X