Khamis, 12 Disember 2019 | 8:41pm
BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. - Foto Zulfadhli Zulkifli

Gaji, elaun Ahmad Zahid sebagai TPM RM44,383.15

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bekas Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerima gaji dan elaun berjumlah RM44,383.15 sebulan bagi jawatan Timbalan Perdana Menteri dari Julai 2015 hingga Mei 2018.

Setiausaha Bahagian (Hal Ehwal Perlembagaan dan Parlimen), Bahagian Kabinet, Perlembagaan dan Perhubungan Antara Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri, Daman Huri Nor, 55, berkata ketika memegang jawatan itu sejak 28 Julai 2015 hingga 9 Mei 2018, Ahmad Zahid menerima gaji hakiki RM18,168.15 sebulan manakala elaun RM26,215.

Katanya, gaji hakiki yang diterima Ahmad Zahid sebagai Menteri Persekutuan (Menteri Dalam Negeri) bermula 16 Mei 2013 sehingga 27 Julai 2015 adalah RM14,907.20 manakala elaun yang diperoleh berjumlah RM24,320.

“Elaun diterima Ahmad Zahid adalah berdasarkan ketentuan elaun dan keistimewaan bagi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Persekutuan (pindaan hingga November 2014),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Alif Ali pada hari ke-12 perbicaraan kes Ahmad Zahid membabitkan 47 tuduhan termasuk 12 dakwaan pecah amanah, lapan kes rasuah dan 27 pengubahan wang haram berkaitan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Saksi ke-22 pendakwaan itu turut mengecam dokumen perakuan tentang kedudukan atau jawatan dipegang Ahmad Zahid dikemukakan kepadanya oleh Mohd Alif.

Sementara itu, saksi lain, Ketua Pegawai Eksekutif Armada Holdings Sdn Bhd, Datuk Wasi Khan @Wasiyu Zama Israr Ahmad, 50, tidak bersetuju dengan cadangan peguam Datuk Rosal Azimin Ahmad bahawa pinjaman dana Yayasan Akalbudi sebanyak RM10 juta kepada syarikat Armada Holdings Sdn Bhd adalah untuk pelaburan.

Rosal: Datuk setuju jika saya kata pelaburan ini bertujuan untuk mendapatkan keuntungan kepada Yayasan Akalbudi?

Wasi: Tidak setuju.

Rosal: Setuju jika saya katakan Ahmad Zahid mempunyai kepentingan dalam syarikat Armada Holdings Sdn Bhd.

Wasi: Tidak setuju.

Semalam, Wasi berkata Ahmad Zahid meminjamkan dana Yayasan Akalbudi RM10 juta kepada syarikat Armada Holdings Sdn Bhd iaitu sebuah syarikat pengimport dan pembekal arang batu selepas diperkenalkan oleh Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa atau lebih dikenal sebagai Datuk K.

Saksi ke-21 pendakwaan itu berkata pinjaman itu untuk pihaknya perlu modal berbayar RM10 juta sebagai memenuhi syarat minimum berdaftar untuk pembekal arang batu Indonesia bagi kontrak spot TNB Fuel Services Sdn Bhd.

Ahmad Zahid, 66, menghadapi 47 pertuduhan, dengan 12 daripadanya bagi pecah amanah (CBT), lapan bagi rasuah dan 27 bagi pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung 11 Februari depan.

Berita Harian X