Khamis, 12 Disember 2019 | 7:13pm
PRESIDEN PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. - Foto Hairul Anuar Rahim

Anwar beri keterangan

KUALA LUMPUR: Polis sudah merakam keterangan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membantu siasatan dakwaan serangan seksual terhadap bekas penyelidik di pejabat PKR, Muhammed Yusoff Rawther.

Ketua Penolong Pengarah (D5) Pendakwaan/ Undang-Undang, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mior Faridalthrash Wahid berkata keterangan Anwar diambil di Bukit Aman pada jam 3.45 petang tadi.

“Kita sudah merakam keterangan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika beliau hadir di Bukit Aman pada jam 3.45 petang tadi.

“Proses itu mengambil masa kira-kira 1 jam 30 minit,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Semalam, BH melaporkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, berkata keterangan Anwar dan beberapa individu lain akan diambil bagi membantu siasatan dakwaan yang dibuat Yusoff dalam satu akuan bersumpah.

Kelmarin, Muhammed Yusoff dipanggil kali kedua ke Bukit Aman bagi membolehkan polis melengkapkan siasatan.

Kali pertama Yusoff dipanggil adalah pada Isnin dengan proses merakam keterangan mengambil masa kira-kira tujuh jam.

Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman yang mengendalikan siasatan kes salah laku didakwa membabitkan Anwar itu, turut memanggil ahli keluarga Muhammed Yusoff.

Berita Harian X