Rabu, 11 Disember 2019 | 7:38pm

Syarikat terbabit rasuah akan disiasat - SPRM

KUALA LUMPUR: Mana-mana syarikat yang terbabit dengan rasuah akan disiasat dan diheret ke mahkamah sebaik Seksyen 17A Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dikuatkuasa bermula 1 Jun depan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya, berkata sebelum ini, di bawah Akta SPRM 2009 hanya bertumpu kepada pendakwaan atas ‘natural person’ iaitu individu yang terbabit dengan rasuah.

“Jika seseorang ditangkap melakukan rasuah dan jika pekerja itu mengatakan mereka melakukannya atas arahan bos atau majikannya, maka majikan mereka akan turut dipertanggungjawabkan,” katanya ketika ditemui media selepas selesai rakaman program Soal Rakyat terbitan TV3 di Sri Pentas, hari ini.

Seksyen 17A sebelum ini diluluskan di Parlimen pada 5 April 2018 memperuntukkan kesalahan rasuah oleh organisasi komersial.

Mengulas lanjut, Latheefa berkata Seksyen 17A diwujudkan bagi mengelakkan entiti dan syarikat terjebak dalam perlakuan rasuah.

“Menerusi Seksyen 17A ini, syarikat atau entiti komersial boleh dipertanggungjawabkan sekiranya salah seorang pekerja mereka melakukan rasuah.

“Bukan saja pekerja itu sendiri akan dikenakan tindakan tetapi syarikat itu atau pengurusan di syarikat berkenaan turut bertanggungjawab,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini belum ada kes seumpamanya disiasat SPRM, malah pihaknya juga tidak memfokuskan mana-mana syarikat jika ia dikuatkuasa kelak.

“Setakat ini belum ada kes. Di peringkat SPRM, kami sedang membantu syarikat-syarikat komersial untuk mengambil langkah (sesuai) atau di dalam syarikat mereka supaya ada prosedur.

“Mereka perlu melakukan prosedur mencegah rasuah itu dalam syarikat,” katanya.

KETUA Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya ketika rakaman program Soal Rakyat terbitan TV3 di Sri Pentas, hari ini. - Foto Zunnur Al Shafiq
KETUA Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya ketika rakaman program Soal Rakyat terbitan TV3 di Sri Pentas, hari ini. - Foto Zunnur Al Shafiq

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X