Rabu, 11 Disember 2019 | 5:08pm
Mohamed Riduan di pusara bayinya yang meninggal dunia selepas dilahirkan di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu. - Ihsan Mohamed Riduan Mohamed
Mohamed Riduan di pusara bayinya yang meninggal dunia selepas dilahirkan di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu. - Ihsan Mohamed Riduan Mohamed

JKNT siasat kematian bayi

KUALA TERENGGANU: Seorang bapa dari Kampung Pulau Rusa, di sini, mendakwa kecuaian pihak hospital menyebabkan bayi pramatang dilahirkan isterinya meninggal dunia, kelmarin.

Coretan Mohamed Riduan Mohamed @ Asari, 35, yang tular di laman sosial Facebook, mendakwa kematian bayinya seberat 1.1 kilogram (kg) di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) kelmarin adalah akibat kelewatan isterinya menerima rawatan, berikutan masalah dokumen ketika pendaftaran.

Mohamed Riduan berkata bayi yang dilahirkan secara songsang di Unit Kecemasan HSNZ di sini, jam 8.27 pagi Ahad lalu, disahkan meninggal dunia akibat pendarahan otak tahap empat pada jam 3.31 petang kelmarin.

“Kami tiba di hospital jam 8 pagi Ahad dan ketika itu air ketuban isteri sudah lama pecah, sejak jam 7 pagi ketika di rumah. Isteri saya ditempatkan di sebuah katil pada bahagian kecemasan dan tidak ditolak ke bilik prosedur rawatan bersalin kerana tiada dokumen.

“Sejak tiba di hospital, pihak pendaftaran hospital asyik bertanya maklumat peribadi dan dokumen pengenalan diri serta buku merah, menyebabkan isteri saya lewat mendapat rawatan, sedangkan waktu itu bahagian badan bayi saya sudah terkeluar secara songsang.

“Dalam keadaan cemas melihat keadaan isteri di rumah, memang saya tidak sempat untuk memikirkan soal dokumen. Selang hampir setengah jam kemudian barulah bayi saya dilahirkan jam 8.27 pagi.

“Bayangkan berapa lama bayi tersangkut dan implikasi yang boleh menimpa anak dan isteri saya. Begitu mudah pihak hospital bermain dengan nyawa isteri dan anak saya,” katanya.

Beliau berkata, doktor pakar yang ditemui memaklumkan keadaan anaknya kritikal apabila berlaku pendarahan dalam kepala tahap empat.

“Dimaklumkan juga kepada saya bahawa pada hari pertama, pendarahan di kepala anak saya itu sudah di tahap dua. Persoalannya, mengapa hal ini tidak dimaklumkan kepada saya pada hari pertama dia dilahirkan sedangkan ia sudah dikesan doktor.

“Pada hari pertama, mereka hanya maklumkan bahagian bawah pusat hingga ke pinggang anak saya kebiruan dan perlu dipantau,” katanya.

Mohamed Riduan berkata, dia tidak teragak-agak untuk membuat laporan polis dan memohon pihak hospital mengambil tindakan lanjut berhubung perkara itu, termasuk menyiasat kakitangan yang didakwa menyebabkan isterinya lewat mendapat rawatan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), Dr Nor Azimi Yunus, berkata pihaknya sudah mengambil tindakan segera dan sedang menjalankan siasatan rapi berhubung kematian bayi kelahiran pramatang di HSNZ, kelmarin.

Beliau berkata, dalam kecemasan, perawatan akan diberikan sebagaimana standard yang digariskan tanpa perlu menunggu proses pendaftaran pesakit selesai.

“Penjelasan berkaitan keadaan bayi dan risiko komplikasi kelahiran pramatang sudah dimaklumkan ketika perjumpaan bersama bapa selepas kelahiran bayi itu, iaitu kira-kira jam 10 pagi pada Ahad lalu.

“Penjelasan lebih lanjut juga sudah diberikan oleh Pakar Neonatologi kepada kedua ibu bapa bayi itu pada kira-kira jam 1 tengah hari kelmarin, selepas beberapa siri ujian dan pemeriksaan lanjut dibuat ke atas bayi kelahiran pramatang itu.

“JKNT mengucapkan takziah dan menzahirkan rasa simpati kepada kedua-dua ibu bapa terbabit dan berharap pihak keluarga diberikan ruang oleh semua pihak pada masa yang sukar ini.

“Orang ramai juga dipohon untuk tidak menimbulkan spekulasi tanpa merujuk kepada sumber maklumat yang sahih,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X