Rabu, 11 Disember 2019 | 2:10pm
Anwar sedia memberi keterangan kepada polis dengan kadar segera untuk membantu siasatan kes yang didakwa fitnah terbaharu terhadapnya. - NSTP/Rasul Azli Samad

Anwar sedia beri keterangan segera

KUALA LUMPUR: Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau sedia memberi keterangan kepada polis dengan kadar segera untuk membantu siasatan kes yang didakwa fitnah terbaharu terhadapnya.

“Merujuk kepada fitnah terbaharu terhadap saya, saya berterima kasih kepada polis kerana menyegerakan siasatan. Ingin ditegaskan saya bersedia memberi keterangan kepada polis dalam kadar segera untuk membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, sebelum ini dilaporkan berkata polis akan memanggil beberapa saksi lain bagi melengkapkan kertas siasatan kes terbabit mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul.

Kenyataan media yang dimuatnaik dalam laman Twitter Anwar Ibrahim.

Sabtu lalu, bekas pegawai penyelidik Anwar, Muhammed Yusoff Rawther membuat laporan dan menyerahkan akuan bersumpah (SD) di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul berhubung dakwaan cabul terhadap dirinya, selain menggesa supaya tindakan perundangan diambil terhadap Ahli Parlimen Port Dickson itu.

Kelmarin, Muhammed Yusoff dilaporkan hadir ke Bukit Aman untuk memberikan keterangan kepada Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) selama tujuh jam, sebelum sekali lagi tampil berbuat demikian, semalam.

Menerusi sumber, BH melaporkan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) yang mengendalikan siasatan kes salah laku dipercayai membabitkan Anwar turut memanggil ahli keluarga Muhammed Yusoff dari Pulau Pinang.

Sabtu lalu, Muhammed Yusoff membuat laporan dan menyerahkan akuan bersumpah (SD) di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul.

Berita Harian X